Memori Berkasih imbau kenangan Siti Nordiana, Allahyarham Achik Spin - Utusan Malaysia

Memori Berkasih imbau kenangan Siti Nordiana, Allahyarham Achik Spin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Siti Nordiana, berupaya membuatkan peminat-peminat kembali mengingati kenangan zaman kegemilangannya dengan Allahyarham Achik Spin yang sebelum ini terkenal sebagai duo serasi di era muzik 90-an.

Perkara itu diterjemahkan menerusi persembahannya dalam segmen lagu-lagu duet bersama Allahyarham Achik sempena Konsert Memori Berkasih 25 Tahun Siti Nordiana yang berlangsung di Zepp KL, Sabtu lalu.

Menerusi judul lagu yang sama, penyanyi yang turut dikenali sebagai Nana ini menghadiahkan segmen istimewa itu dengan sengaja ‘menghidupkan’ vokal asal Achik sebagaimana yang pernah mereka rakamkan untuk lagu-lagu duet sebelum ini.

Mendapat sambutan luar biasa daripada penonton, Nana juga melengkapkan lagi emosi suasana dengan paparan gambar-gambar kenangannya bersama rakan duetnya itu di skrin sepanjang lagu itu didendangkan.

Tidak cuma itu, Nana juga membawakan dua lagi lagu hitsnya bersama Allahyarham Achik yang berjudul Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih yang kemudiannya dinyanyikan bersama-sama seisi 1,500 peminat yang memenuhi dewan konsert tersebut.

Itu antara tarikan yang dihidangkan kepada peminat yang sama-sama menyaksikan jatuh bangun Siti Nordiana dalam industri seni tanah air sepanjang tempoh 25 tahun ini.

Dalam sela masa, Nana juga berulang kali menyatakan perasaan terharu atas penghargaan para peminat rakan media, pemuzik dan semua yang selama ini tetap utuh berdiri di belakangnya memberi sokongan terhadap kerjaya seninya.

“Sepanjang karier saya banyak memori pahit yang saya lalui, dan konsert ini akan terus berada dalam lipatan memori berkasih saya.

“Alhamdulillah akhirnya tercapai juga cita-cita saya nak buat konsert selepas 25 tahun dalam industri. Konsert ini tak lain tak bukan adalah untuk anda semua. Yang hadir malam ini terima kasih. Terima kasih datang dari jauh dan terima kasih terima saya seadanya.

“Terima kasih terima segala kekurangan saya dan ada masa jatuh bangun saya, insyaAllah saya terus berkarya kerana sokongan anda semua,” katanya.

Selain itu, konsert sulung itu juga menjadi penanda aras kejayaan buat Nana yang selama ini mendambakan peluang untuk menjayakan konsert sendiri bagi melengkapkan profil kerjaya sebagai seorang penyanyi.

Tidak cuma itu, menerusi konsert tersebut, Nana juga menyelitkan segmen Irama Malaysia yang menjadi antara cabang kebolehannya sebagai penyanyi.
Antara lagu berentak Irama Malaysia yang dibawakan Nana ialah Benang Emas, Zapin Pak Ngah Balik, Bakawali dan Joget Pilihan Jiwa.
Selain itu, mengisi persembahan konsert, Nana juga membawakan lagu hits seperti Amaran, Tak Upaya Menangis Lagi, Cinta Hanya Sandaran, Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Kasihmu Seakan Berubah, Nisan Cinta, Angkara, Terus Mencintaimu dan Hatiku Milikmu.
Tidak ketinggalan, menjadi penutup kepada persembahan, Nana tidak lupa untuk menghadiahkan lagu Paling Comel yang pernah menjadi hits sekitar tahun 2003.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya