Marsha imbau memori keluar wang sendiri buat lagu, dianggap syok sendiri - Utusan Malaysia

Marsha imbau memori keluar wang sendiri buat lagu, dianggap syok sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Marsha Milan, mengakui perjalanannya untuk mengukuhkan nama di dalam industri sejak 18 tahun lalu bukanlah proses yang mudah.

Jelas Marsha atau Marsha Milan Londoh, 38, dia pernah berada di fasa tawaran bernyanyi semakin sepi menyebabkannya mengeluarkan wang sendiri menghasilkan lagu untuk kekal relevan.

“Saya teringat kenangan di mana saya teringin untuk bernyanyi tapi undangan membuat persembahan tidak seberapa.

“Jadi, saya keluarkan duit sendiri untuk hasilkan single. Orang kata syok sendiri sebab tiada pun yang dengar.

“Jika ada yang bertanya mengapa nampak seperti saya fokus kepada bidang nyanyian berbanding lakonan, sebab saya berjuang 18 tahun untuk orang nampak saya sebagai penyanyi,” katanya.

Marsha ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan pelancaran lagu ‘Hening Rindu’ baru-baru ini.

Anak jati Sabah itu bagaimanapun bersyukur kerana syarikat pengurusan banyak membantu mengembangkan kariernya sehingga memenangi pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu ke-36.

“Sejujurnya saya sangat bersyukur. Saya pernah melalui fasa di mana saya perlu meminta lagu daripada komposer. Namun, saya merasakan ini perkara yang biasa dilalui semua penyanyi.

“Kita akan lalui fasa belum dikenali dan kemudian kita dikenali. Malah, pihak label juga banyak membantu saya untuk mendapatkan lagu-lagu yang bagus.

“Saya tidak boleh bergerak sendiri dalam hal seperti ini. Saya perlukan bantuan pihak label untuk pastikan kerjaya nyanyian saya terjaga,” katanya.

Selepas popular dengan lagu Dulu, Kini dan Selamanya yang menjadi runut bunyi untuk drama popular ‘Lelaki Itu’, Marsha sekali lagi mencuri tumpuan apabila hadir dengan lagu ‘Hening Rindu’ untuk drama ‘Aku Bukan Ustazah’.

Mengintai respons peminat di media sosial, rata-rata memanggil Marsha dengan gelaran ‘Ratu OST’.

“Saya tak kisah dipanggil begitu. Bagi saya, gelaran itu adalah maklum balas positif pendengar dan patut dihargai.

“Lagipun ia bukan penanda aras buat saya untuk digelar sebagai ratu apapun. Biarlah orang menilai karya yang saya keluarkan” tambahnya.

Untuk info, video muzik lagu ‘Hening Rindu’ arahan Izuan Mokhtar kini boleh ditonton menerusi YouTube.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya