Kisah wirawati bola keranjang difilemkan - Utusan Malaysia

Kisah wirawati bola keranjang difilemkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI perfileman negara disemarakkan dengan penghasilan naskhah yang mengangkat kisah kejayaan atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Jika sebelum ini kita menyaksikan Ola Bola, Lee Chong Wei, Jejak Warriors di layar perak, kali ini muncul filem Padu yang menelan kos pembikinan mencecah RM4.5 juga.

Menariknya tentang filem ini adalah, dalam keghairahan penerbit dan pengarah tempatan mendokumentasikan tentang sukan badminton dan bola sepak, Padu pula mengangkat cerita kejayaan pasukan bola keranjang wanita kebangsaan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Station Sdn. Bhd., Zetty Alia Ramly serta pengarah Faizal Ishak menggalas tugas besar dalam membawa kisah pencapaian pasukan berkenaan ke layar perak.

“Ramai dalam kalangan kita yang masih tidak tahu tentang kewujudan dan pencapaian pasukan bola keranjang wanita negara.

“Oleh yang demikian, kami terpanggil untuk filemkan kisah wirawati-wirawati bola keranjang negara supaya masyarakat dan generasi pelapis tahu tentang kejayaan mereka,” kongsi Zetty pada sidang akhbar selepas malam gala filem berkenaan baru-baru ini.

Filem Padu diadaptasi daripada kisah benar membabitkan empat wirawati bola keranjang wanita negara iaitu Izzati, Mulan, Kalai dan jurulatih, Yoong.

Mereka berdepan konflik dan cabaran ketika membawa nama Malaysia pada tiga kejohanan penting iaitu Sukan SEA di Myanmar (2013), Sukan SEABA di Semarang, Indonesia (2014) dan Sukan SEA Singapura (2015).

Filem ini dibintangi Fify Azmi, Jojo Goh, Thanuja Ananthan, Lim Mei Fen, Umie Aida, Eizlan Yisof, Sathiya, Mark Adam, Steve Yap dan ramai lagi. Padu bakal menjengah seluruh pawagam di Malaysia bermula 6 Jun ini.

Sementara itu, Faizal ketika mengulas tentang filem tersebut berkata masyarakat perlu dimaklumkan tentang kejayaan pasukan Harimau Malaysia yang sehingga ke hari ini telah menghadiahkan 13 pingat emas buat negara.

“Saya terkilan, sebab masyarakat tak tahu tentang pengorbanan yang dicurahkan pasukan ini mengharumkan nama negara.

“Kerana itu saya dan penerbit terpanggil untuk mendokumentasikan cerita mereka dengan harapan ia dapat diarkibkan di peringkat nasional,” ujarnya.


TUGAS GETIR YAKINKAN PENONTON

LAKONAN watak sebenar dalam drama atau filem bukan tugas mudah apatah lagi katakter yang dilakonkan wujud hari ini.

Fify, Jojo, Thanuja dan Mei Fen bagaimanapun berjaya meyakinkan penonton menerusi lakonan dipersembahkan dalam filem ini.

“Memang sukar. Kecergasan tidak menjadi masalah kerana pelakon didedahkan dengan latihan sebelum memulakan penggambaran.

“Yang menjadi cabaran adalah bagaimana untuk menghidupkan setiap watak yang kami bawakan dalam filem ini.

“Kami bertuah kerana karakter yang kami lakonkan wujud hari ini. Saya minta Izzati ajar agar sekurang-kurangnya meyakinkan audiens yang kami adalah pemain bola keranjang profesional,” kata Fiffy yang memegang watak Izzati.

Tanuja yang membawa watak Kalai pula berdepan cabaran berbeza apabila pelakon itu mengalami kecederaan ketika latihan sebelum penggambaran bermula.

“Saya terpaksa lakukan pembedahan disebabkan patah jari kelingking ketika latihan.

“Bayangkan sepanjang penggambaran saya terpaksa berlakon dalam keadaan jari yang masih belum sepenuhnya sembuh.

“Tapi saya kuatkan semangat kerana tidak mahu lepaskan peluang untuk jayakan filem
ini,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN