KALAU ditanya kepada artis zaman sekarang, rata-ratanya pasti bersetuju bahawa publisiti, baik atau buruk, tetap bermanfaat untuk membuatkan seseorang itu lebih dikenali masyarakat.
Tak kiralah bersifat mahal atau murahan, tentang artis menang anugerah atau jadi perampas suami orang, atau juga aib lampau dibuka orang, publisiti itu tetap menjadi buruan mungkin bukan semua, tapi kebanyakan mereka yang bergelar selebriti.
Pandangan pelakon meningkat naik, Hariz Hamdan, 22, berkenaan isu ini pula bersifat lebih neutral.
Katanya, meskipun tidak memburu publisiti murahan, sebagai pelakon dia perlu bersedia menjadi sasaran kontorversi lebih-lebih lagi membabitkan cerita-cerita lampau yang berpotensi diungkit netizen.
“Pada saya setiap artis memiliki strategi sendiri untuk bertahan dalam industri seni. Ada yang menggunakan publisiti, tak kiralah yang mahal atau murahan, untuk memastikan nama mereka terus disebut-sebut.
“Jadi, janganlah kita cepat menghukum, menyifatkan artis yang menggunakan kontroversi atau cerita lampau mereka untuk publisiti, sebagai teruk. Anggap sahaja itu strategi mereka untuk terus dikenali masyarakat.
“Saya pun tak adalah ‘bersih’ mana, dan tak tahu, lima atau 10 tahun akan datang cerita-cerita lampau saya didedahkan orang, sekali gus menjadi kontroversi yang membuatkan orang lebih kenal dengan saya.
“Ini semua ketentuan Allah. Apa juga keadaannya, saya bukan manusia sempurna dan pernah melakukan kesilapan. Cuma saya mahu menjadi manusia yang lebih baik di masa akan datang,” katanya selepas sesi larian anjuran Asics, baru-baru ini.
Pertanyaan saya kepada Hariz beralih kepada lambakan kes-kes curang dan pergolakan rumah tangga yang berlaku dalam masyarakat dan turut membabitkan golongan selebriti. Adakah perkara itu menakut-nakutkan dirinya untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita pada masa sekarang.
“Tentu sekali, masalah keruntuhan rumah tangga, curang yang semakin banyak didedahkan di media cetak, arus perdana dan sosial pada masa sekarang membuatkan saya betul-betul berifkir panjang.
“Tapi kalau difikir semula, konsepnya mudah. Jangan cari masalah dengan orang lain. Kalau kita cintai seseorang, sayangilah mereka dengan sepenuh hati dan berniatlah untuk memperisterikan mereka.
“Jangan permainkan hati dan perasaan. Saya percaya pada karma, apa yang kita buat kepada orang lain pasti akan berbalik semula kepada diri kita,” ujarnya.
PERNAH GEMUK DAN SELALU DIHINA
Kesungguhan Hariz menjaga kesihatannya dan kecerdasannya wajar diteladani masyarakat. Meskipun bergelar pelakon, Hariz percaya kesihatan yang baik adalah kunci kepada kejayaan dalam apa juga pekerjaan sekalipun.
Bercerita tentang perkara itu, fizikal dan kecergasan yang dimilikinya hari ini berkat kesedaran selepas melalui fasa-fasa turun naik kehidupan ketika usianya belasan tahun dahulu.
Kata pemilik nama sebenar Muhammad Hariz Muhammad Hamdan ini, dia serik dicemuh dan dipanggil berbagai gelaran negatif gara-gara berbadan besar ketika usianya belasan tahun
“Berat saya sebelum ini pernah mencecah sehingga 98 kilogram (kg) dan disebabkan keadaan ini saya pernah dipanggil gemuk. Disebabkan itu dulu saya malu untuk melihat diri sendiri depan cermin dan menjadi seseorang yang kurang keyakinan diri.
“Sejak itu, saya ubah cara berfikir dan sentiasa dahulukan senaman serta gaya hidup yang lebih sihat. Bagi saya adalah merugikan kalau kita tidak gunakan potensi kecergasan kita sebab setiap manusia itu dianugerahkan peluang sama rata untuk hidup sihat,” kongsinya.
Diminta pandangan tentang jalan pintas untuk kelihatan segak dan menarik, Hariz berkata tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya untuk mencuba pelbagai cara dan kaedah yang cepat menunjukkan kesan namun berisiko dan membahayakan.
“Setakat ini saya masih waras dan boleh membezakan baik buruk. Walaupun sebelum ini pernah gemuk dan tertekan disebabkannya, saya tak pernah mempertimbangkan untuk menggunakan jalan pintas sebagai cara untuk mendapatkan fizikal yang saya inginkan.
“Daripada melakukan perkara yang tak elok, lebih baik saya buat sesuatu yang menyihatkan, seperti bersenam dan sebagainya,” kongsinya lagi.