Fasa bersedih saya sudah berakhir - Hannah Delisha - Utusan Malaysia

Fasa bersedih saya sudah berakhir – Hannah Delisha

PETALING JAYA 7 MAC 2024 - Hannah Delisha pada Sesi Tayangan Barisan Drama ‘RaRa Macam Dulu-Dulu’ yang diadakan di GlamHall Damansara. / M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah menerima ketentuan apabila anak pertama yang dikandung selama 13 minggu tiba-tiba disahkan tidak bergerak. Khabar buruk itu ibarat merentap harapan penyanyi dan pelakon, Hannah Delisha untuk bergelar seorang ibu.

Berkat sokongan keluarga dan suami, Iman Shah, artis kelahiran Singapura itu berjaya mengharungi fasa terendah dalam hidupnya. Kini, Hannah mengakui sudah berlapang dada dan menganggap apa yang terjadi adalah ujian yang dikirim Tuhan untuk menjadikannya  wanita lebih kuat. 

“Fasa bersedih itu sudah habis. Kini, saya sudah rasa lebih sihat, terima kasih kepada orang-orang yang menyokong saya terutama suami dan keluarga. Mereka selalu membuatkan saya rasa dicintai dan disayangi.

“Apa yang terjadi saya sudah reda dan terima. Mungkin inilah hidup, setiap daripada kita mempunyai ujian masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Enggan terlalu meletakkan harapan yang tinggi, namun Hannah menganggap sekiranya Tuhan memberikannya rezeki untuk mengandung lagi, penyanyi Esok Masih Ada itu akan lebih berhati-hati memilih rutin harian.

“Sememangnya kalau ditanya adakah saya mahu mengandung lagi atau tidak dalam masa terdekat, saya sendiri tidak tahu. Memang tiada perancangan, namun saya juga tidak menolak sekiranya diizinkan Tuhan.

“Cuma, sekiranya ada rezeki, saya akan ambil cuti terutama untuk trimester pertama kandungan. 


“Sebab bila saya tengok balik ketika saya mengandung tempoh hari, kehidupan saya sangat sibuk. Saya banyak mengembara, terlalu kuat bekerja sehingga tidak cukup tidur,” jelasnya yang mula mendirikan rumah tangga pada tahun 2021.

Ketika berita keguguran itu berlaku, Hannah baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama hits, Lelaki Itu membawakan watak  Batrisya. 

Hanna tidak menyangka, apa yang dilalui karakter tersebut di dalam drama turut dihadapinya di kehidupan nyata.

“Saya alami keguguran selepas drama habis. Tapi saya pun tidak sangka akan lalui perkara yang sama seperti Batrisya iaitu kehilangan anak. 

“Cuma bezanya, saya keguguran manakala Batrisya pula terpaksa lakukan keguguran,” tambahnya.

Bukan sekadar isu penyodol

Bangga apabila drama lakonannya mencipta fenomena sehingga mendapat 1 bilion capaian di media sosial, Hanna merasakan keberanian penerbit dan penulis skrip, Erma Fatima membawakan isu yang kritis adalah kunci kejayaan Lelaki Itu.

“Drama ini bukan cerita tipikal tentang penyondol tapi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang masalah kesihatan mental. 

“Waktu bawa watak Batrisya pun, saya tak boleh bayangkan sekiranya perkara seperti terkahwin dengan adik-beradik sendiri berlaku kepada saya. 

“Sayangnya, perkara ini betul terjadi dan memang ada kes sebegini di luar sana. Memang berat menghidupkan naskhah ini lebih-lebih lagi watak saya banyak duduk di dalam bilik. 

“Walaupun selepas drama berakhir, saya rasa sangat penat baik mental dan fizikal. Sekarang saya sedang berehat sebelum masuk ke set penggambaran yang baru pada Julai nanti,” katanya.

Terdahulu, Hannah Delisha mencuri tumpuan ramai menerusi drama Lelaki Itu apabila lakonannya membawakan watak Batrisya, yang tanpa sengaja berkahwin dengan adik-beradik sendiri meraih pujian ramai di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya