Meskipun baru sahaja mengumumkan pengunduran salah seorang anggotanya (Syasya), kumpulan Dolla mengakui perjalanan mereka tidak akan berakhir di situ.
Malah, tiga anggota lain, Tabby, Sabronzo dan Angel menganggap ia bukan penyebab untuk mereka lekas putus asa dan melupakan perjuangan muzik yang telah diukir sejak beberapa tahun ini.
Menurut Tabby, Syasya sudah seumpama adi-beradik mereka sendiri dah kehilangannya bukanlah satu perkara yang harus diratapi lantaran tahu nekadnya dia meninggalkan Dolla adalah demi tuntutan hidup yang lebih baik.
“Bagi kami, kehilangan Syasya ini merupakan satu perkara yang cukup berat dan kami masih menganggap Syasya sebagai adik kami.
“Oleh itu, kami tidak putus untuk memberi sokongan kepadanya walaupun kini dia bukan lagi ahli kumpulan Dolla,”katanya.
Meskipun begitu, kata Tabby, kekosongan tempat Syasya bukan bererti Dolla mudah menggantikannya dengan orang lain.
Apatah lagi, menerusi hasrat Dolla menjayakan konsert sulung mereka yang bakal berlangsung pada Ogos depan.
“Kami memang tak pernah terfikir untuk mencari pengganti Syasya buat masa sekarang ini. Fokus kami hanyalah pada konsert sahaja.
“Sekarang pun, kami bertiga cuba untuk memperkuatkan lagi hubungan di antara kami sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
“Sebenarnya, kami tidak tahu sama ada Syasya akan hadir ke konsert kami atau pun tidak kerana dia tidak menghubungi kami selepas keluar daripada Dolla,” jelasnya.
Bagaimanapun, kata Tabby, dia dan anggota Dolla yang lain enggan terlalu melayan atau larut dengan isu ini.
Bagi mereka, perkara ini umpama satu gelombang ujian yang harus dihadapi mereka di saat Dolla sedang berusaha mencipta nama dalam industri muzik.
“Walaupun kini yang tinggal cuma kami bertiga, Dolla akan tetap memberikan terbaik dan mengharapkan penonton untuk sentiasa terus mendoakan kami,” kata Tabby ketika ditemui di sidang media konsert Dolla Rebirth Experience yang berlangsung di Planetarium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Terdahulu, pada 8 April yang lalu, pihak Universal Music Malaysia telah mengumumkan penarikan diri Syasya dari kumpulan Dolla atas faktor peribadi.
Sebelum ini, kumpulan ini juga pernah membawa nama Malaysia ke pentas negara China menerusi rancangan Show It All.
Sementara itu, berkongsi mengenai penganjuran konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur Ogos depan, Sabronzo pula berkata, durasi persembahan mereka akan berlangsung selama 1 jam 30 minit.
Malah, katanya, konsert ini juga akan menyaksikan antara persembahan paling lama yang dilakukan oleh Dolla sepanjang mereka menceburi industri muzik.
“Memandangkan ini merupakan konsert solo pertama kami, jadi sememangnya kami berasa sangat gembira dengan pada masa yang sama sedikit gugup kerana ia juga pertama kali kami melakukan konsert dalam waktu yang agak lama.
“Tetapi, saya bersama anggota Dolla yang lain sudah bersiap sedia dengan melakukan perancangan lebih rapi supaya persembahan kami pada konsert ini berjalan lancar.
“Kamj juga berjanji tidak akan menghampakan penonton terutama iDolla (fanbase),” jelasnya.
Dalam pada itu, kata Sabronzo, sekiranya diminta untuk melakukan konsert bagi hari kedua, Dolla juga bersiap sedia untuk memberikan komitmen penuh demi memberikan kepuasan buat peminat yang hadir menyokong persembahan mereka.
Untuk info, konsert ini dibawakan oleh Hitman Solutions dan Universal Music Malaysia.Tiket mula dijual pada 30 Mei ini pada harga RM100 hingga RM200.