PALING cantik, busana mewah dengan gaya penuh spektakular sambil dipadukan dengan vokal memukau kalis ‘gelincir’.
Malam itu, Ziana Zain menang dalam posisinya sebagai seorang penyanyi bertaraf diva tanah air.
Ya, kita sedang bercakap mengenai kejayaan konsert sulung pertamanya yang berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Jika kesempurnaan yang dicari pada sebuah konsert, tidak keterlaluan jika dikatakan konsert tempoh hari menjadi satu ukuran yang tepat buat peminat muzik tempatan yang dahagakan persembahan bertaraf lima bintang, datangnya juga daripada seorang penyanyi berkelas A seperti Ziana.
Lalu kita tunggu apa lagi? Mahkota seorang ‘Ratu’ itu sudah nyata sememangnya milik Ziana Zain.
Melayangkan pertanyaan, apakah dia bersetuju jika dirinya layak digelar seorang diva, penyanyi ini bagaimanapun menyimpul kata penuh makna.
“Jika boleh berkata jujur, saya akui, tak pernah anggap diri seorang diva. Bagi saya, siapa yang beri gelaran itu, mungkin kerana mereka nampak saya ini seorang penyanyi.
“Gelaran yang diberi itu adalah dari kaca mata peminat yang melihat saya berkembang di sepanjang perjalanan sebagai seorang penyanyi.
“Bagaimanapun, jika ternyata menang benar itulah gelaran yang diberikan daripada peminat, saya bersyukur. Bukan senang orang nak beri gelaran begitu kerana semestinya penyanyi itu harus menjaga kualiti dari A hingga Z,”katanya.
Berkongsi lanjut, kata Ziana, meski sekali pun orang memandangnya sebagai seorang penyanyi glamor dan popular, jauh di sudut hati, dia tahu siapa dirinya yang sebenar.
“Kalau ditanya, sekarang ini pun, meski sudah 22 tahun bergelar penyanyi, saya tak pernah rasa diri ini terkenal atau bertaraf legenda hidup seperti yang orang kata.
“Ya, terima kasih jika betul ramai anggap saya diva. Tetapi terus terang, saya takut. Bagi saya gelaran dan tanggapan itu terlalu besar jadi membuatkan saya takut tak mampu pikul.
“Dalam diri ini, saya tetap rasa diri ini biasa sahaja. Saya masih Siti Roziana Zain. Hanya jika di pentas maka saya ialah Ziana Zain,”katanya.
Emak, abah juara hati
Mengungkap apa resipi kejayaannya sehingga mampu meraih kedudukan sebagai penyanyi tersohor yang sudah gah melewati 22 tahun perjalanan kerjaya seni, Ziana tanpa banyak bicara menyebut dua nama.
Kata Ziana, biarlah jika dia sudah berusia 56 tahun kini. Tetapi di hatinya, yang menjadi juara senantiasa adalah ibu dan ayahnya.
Menurut Ziana, dia tidak berasa malu untuk mengakui bahawa dirinya merupakan seorang anak yang taat terhadap kedua orang tua, keramat hidupnya.
“Saya sangat takut dan taat dengan mak dan abah. Biarlah apa orang nak cakap, tetapi di usia begini pun saya akui masih perlukan nasihat orang tua saya.
“Terutama abah. Dia adalah pembakar semangat saya. Pada kebanyakan masa sekarang, orang tua saya tak dapat datang menonton persembahan walaupun dijemput. Faktor usia dan uzur.
“Pernah mak katakan pada saya, dia tak sanggup nak tengok saya menyanyi kerana tak mahu berasa terseksa lihat anaknya berusaha mencari nafkah.
“Buat kami, menyanyi ini adalah minat dan periuk nasi,”katanya.
Ziana juga mengakui, kewujudannya sehingga mampu berada pada kedudukan ini dalam industri seni juga tidak mungkin berlaku jika tiada iringan doa daripada mak dan abahnya.
Malah, doa adik-beradik dan sahabat-sahabat juga menjadi asbab dia mampu meraih kejayaan hingga ke hari ini. Begitu kata Ziana.
“Sebab itulah, saya sendiri selalu ingatkan anak-anak supaya tidak lupa jasa orang tua. Kena ingat mana asal usul diri.
“Saya juga percaya aturan Allah SWT itu cantik. Meskipun saya melalui pelbagai ujian dalam hidup sebagaimana yang umum tahu, namun, Dia sediakan pelangi indah buat saya.
“Kesakitan yang diberikan-Nya, dikurniakan pula dengan kemanisan. Apa pun, selain taat pada ibu bapa, kita juga jangan mudah mempersoalkan apa yang Allah beri.
“Sekali pun ujian datang menimpa, percayalah, ia satu rahmat. Allah Maha Besar dan Dialah Pencatur terbaik dalam hidup kita,”katanya.