KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Sakinah, mengambil keputusan untuk berehat daripada menggunakan media sosial selepas perkahwinan keduanya berakhir pada tahun 2022.
Dalam tempoh empat tahun, Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 34, menghabiskan masa membaca buku selain mendapatkan rawatan profesional daripada pakar psikiatri.
“Ketika itu saya langsung tidak buat apa-apa hantaran di media sosial. Saya tidak buat video menyindir sesiapa, atau hasilkan kandungan demi meraih perhatian ramai. Mana-mana akaun berita hiburan pun saya senyapkan.
“Masa yang ada saya isi dengan berjumpa pakar, hadiri sesi terapi dan bertemu dengan individu yang hanya akan memberi inspirasi dalam hidup saya.
“Selain itu saya juga banyak mengembara dan berjumpa ramai orang asing. Seronok berbual dengan mereka yang kebanyakannya pun sedang celaru dalam hidup,” katanya.
Sharifah Sakinah ditemui Utusan Malaysia di Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Ngesot, baru-baru ini.
Selepas kembali aktif di media sosial, Sakinah bagaimanapun terkilan dengan sikap sesetengah pencipta kandungan yang menghasilkan bahan tidak berkualiti untuk meraih interaksi.
“Saya berpendapat, kandungan media sosial semakin menjadi-jadi. Mereka tidak lagi menjual bakat sebaliknya menghasilkan kandungan dengan cara murahan demi meraih perhatian.
“Saya sedih kerana mereka menggunakan cara itu untuk memperoleh pendapatan. Namun faham pencipta kandungan di sini tidak dibayar mahal berbanding di luar negara.
“Kita semua ada bil yang perlu dibayar. Cuma tanyalah kembali apa niat kita berkongsi perkara yang tidak baik di media sosial,” katanya.
Sakinah juga tidak menafikan pengguna media sosial hari ini lebih tertarik kepada perkara peribadi dan sensasi berbanding perkongsian positif.
“Bila buat kandungan baik, hanya dapat satu ‘like’ manakala kalau berkongsi hal peribadi akan dapat banyak perhatian.
“Jadi mereka semakin kerap berkongsi kisah peribadi kerana itu masyarakat inginkan.
“Apapun, pengikut adalah rezeki. Saya juga akan cuba yang terbaik untuk memberikan perkara yang menginspirasikan kepada orang lain di media sosial,” katanya.