KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Rafidah Ibrahim, menggesa umat Islam di negara ini supaya menyertai gerakan menyekat selebriti atau pempengaruh yang membisu mengenai nasib saudara Islam di Palestin.
Rafidah berkata, menerusi gerakan Blockout 2024 yang dilakukan penduduk di negara Barat beberapa hari lalu, ia sekali gus menunjukkan bahawa ramai sebenarnya yang peduli dengan penderitaan rakyat Palestin namun kecewa kerana golongan selebriti di Barat seakan sengaja membutakan mata.
“Bukan semua selebriti dan pempengaruh muat naik berhubung isu Palestin. Beberapa hari lepas, Barat lancarkan Blockout Celebrity, jadi apalagi, ramailah selebriti di sana yang menggelupur.
“Paling yang mereka takut dan risaukan bila kita serang ‘ravenue’ mereka. Saya tak cakap pasal selebriti Malaysia. Terpulang kepada anda untuk menilai sebab yang kita cakap ini selebriti di Barat,”katanya dalam satu hantaran di Tiktok dan Instagram, semalam.
Berikutan itu, Rafidah berharap lebih ramai akan melakukan perkara yang sama tanpa rasa gentar atau bimbang demi membela nasib rakyat Palestin.
“Bila anda sekat selebriti dan pempengaruh yang tak ada nilai kemanusiaan, tak ada empati, membisu bila ada pembunuhan beramai-ramai berlaku di Palestin dengan masih ada lagi yang jadi duta produk dan mempromosikan jenama yang menyokong negara haram Israel, percayalah, Insya-Allah, hidup anda akan jadi lebih tenang dan bersyukur dengan apa yang ada.
“Saya cakap ini pasal artis di Barat tahu. Setakat ini, saya tengok tidak berlaku di Malaysia dan harapnya tak adalah.
“Sama-samalah kita doakan agar tak ada artis atau pempengaruh di Malaysia terutama yang beragama Islam, ada kena-mengena dengan isu ini,”katanya.
Terdahulu, gerakan Blockout 2024 dimulakan semasa pertunjukan fesyen tahunan, Met Gala 2024 yang berlangsung di Muzium Seni Metropolitan New York pada 6 Mei lalu.
Ia dipercayai bagi menunjukkan bantahan terhadap selebriti membisu mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin.
Disebabkan gerakan tersebut, bintang realiti Kim Kardashian hilang tiga juta pengikut media sosialnya diikuti Blackpink, Taylor Swift dan Selena Gomez.
Bagaimanapun, sejak semalam, muncul beberapa nama artis dan pempengaruh tempatan yang turut tersenarai dan dipercayai mempromosikan jenama-jenama pro-Israel.
Antara nama terbabit termasuk, Daiyan Trisha, Anna Jobling, Meerqeen, Intan Najuwa, Dahlia Rizal, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Ruhainies, Mira Filzah, Cupcake Aisyah, Datuk Seri Vida, Eyka Farhana dan Yazmin Aziz.