KUALA LUMPUR: Pelakon, Amar Baharin, masih menunggu bukti hitam putih plot tanah gantian yang dijanjikan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) kepada keluarganya.
Amar dimaklumkan, pihak PTGS akan memberikan satu plot tanah berhampiran sebagai ganti kepada geran bertindih yang berpunca daripada kesilapan teknikal semasa proses ‘charting’.
“Saya dapat info daripada media yang mereka sudah jumpa tanah yang sesuai untuk digantikan dengan tanah bertindih. Ia perkara yang menggembirakan.
“Tapi saya belum lega selagi tiada dokumen hitam putih. Saya pun nak pergi tengok di mana tanah yang dijanjikan itu. Saya harap mereka (PTGS) dapat tunaikan janji,” katanya.
Amar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini isu tanah ibunya yang mempunyai dua geran berbeza.
Pelakon Biarkan Ia Pergi itu berharap dapat menunaikan hasrat ibu, Nor Hayati Abd Aziz, yang menginginkan urusan tanah ini selesai setelah 10 tahun berjuang.
“Ibu dan ayah saya sudah usahakan perkara ini terlalu lama sejak 2014, namun tiada berita daripada pejabat tanah. Bapa saya sudah meninggal tahun lepas.
“Ibu pernah cakap, kalau boleh, dia mahu isu tanah ini selesai sebelum dia meninggal dunia. Kata-kata itu sangat menyentuh hati. Jadi sebagai anak sulung lelaki, saya kena usahakan sesuatu,” katanya.
Ammar berpendapat, pihak pengurusan tanah sepatutnya lebih cekap dan tidak sepatutnya mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan perkara ini.
“Saya akui sedikit kecewa dengan apa yang jadi. Tanah tersebut bukanlah besar mana tapi pengurusan pejabat tanah membiarkan perkara ini berlarutan sangat lama.
“Sampai orang merayu pun namun masih tiada jawapan. Itu tidak sepatutnya berlaku.
“Apabila tiada jalan penyelesaian dari pejabat tanah, saya bertindak menggunakan media sosial dan kerja jadi cepat.
“Ia berbalik kepada pengurusan di pejabat tanah, siapa pun pengadu kita tak kiralah selebriti atau tidak, mereka kenalah ada etika kerja yang baik supaya dilihat mempunyai kredibiliti dalam pentadbiran,” katanya.