ZUR EDA antara penyanyi era 80-an yang kekal bertahan sampai ke hari ini.
Penyanyi yang hampir berusia 60 tahun ini pernah digelar Sade Malaysia dek keunikan suara serak-serak basah yang dimilikinya.
Membesar di Sungai Buloh, Selangor, penyanyi ini menyimpan pelbagai pengalaman indah berhari raya di kediamannya dekat Paya Jaras.
Pemilik nama sebenar Zuraidah Mokhtar ini mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika zamannya membesar lebih meriah disebabkan ketiadaan gajet.
“Secara peribadi, saya merasakan sambutan ketika era 70-an, 80-an, 90-an dan awal tahun 2000 lebih meriah berbanding sekarang. Mungkin disebabkan ekosistem sekarang yang bergantung kepada telefon pintar. Amalan menyalakan pelita juga semakin berkurangan.
“Apa pun, saya tetap dengan tradisi lama, lebih-lebih lagi amalan pasang pelita bermula malam 27 Ramadan. Kalau tak dibuat, rasa tak lengkap sambutan Hari Raya,” kongsinya.
KENANGAN BERAYA SEWAKTU REMAJA
Bercerita pengalaman berhari raya sewaktu kanak-kanak dan remaja, Zur Eda berkata, seperti keluarga lain, keluarganya menjelang Syawal akan sibuk membuat persiapan termasuk membersih persekitaran luar dan dalam rumah.
“Antara tugas yang selalu disuruh oleh ibu saya adalah membersihkan perhiasan tembaganya termasuk barangan antik seperti tepak sirih dan sebagainya.
“Keluarga kami duduk berdekatan dengan saudara mara. Jadi, malam raya kami menjadi lebih meriah, saling bersaing memasang langsir dan menghias rumah.
“Masa masih kecil seronok pergi rumah ke rumah saudara, melihat dekorasi dalam rumah mereka sempena Aidilfitri,” katanya.
Dalam pada itu, Zur Eda juga memaklumkan antara simpanan berharganya adalah cawan yang dihadiahkan ibunya pada bulan Ramadan.
“Kami adik beradik akan dapat cawan besar setiap seorang. Yang menariknya, ia hanya boleh digunakan sewaktu Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.
KELEBIHAN MENETAP DI SELANGOR
Kata Zur Eda, antara kelebihan menetap di Selangor adalah apabila dia menjadi antara pilihan untuk membuat persembahan sempena Hari Raya Aidilfitri memandangkan ramai rakan artis yang pulang ke kampung masing-masing untuk berhari raya.
Katanya, kelebihan itu dianggap rezeki yang sering datang menjelang Syawal.
“Kelebihan membuat persembahan sempena majlis di istana atau di sekitar ibu kota akan diberikan kepada artis yang menetap Selangor dan Kuala Lumpur.
“Saya anggap itu satu rezeki walaupun terpaksa mengorbankan sedikit masa berhari raya demi bekerja. Keluarga faham dengan keadaan itu dan tidak pernah menghalang.
“Saya cari rezeki dengan menyanyi. Apa juga rezeki yang datang saya tak tolak walaupun di Hari Raya. Selepas selesai pergilah berhari raya,” kongsinya.
CEREWET TENTANG LAGU
Berkongsi perkembangan terkini, Zur Eda berkata, dia kini membabitkan diri dalam mencari bakat baharu di bawah program Kita-untuk-Kita (K2K).
Program tersebut, yang membabitkan kerjasama Karyawan, dibentuk khusus untuk mendedahkan penduduk projek perumahan rakyat (PPR) dengan aktiviti kesenian.
“Saya selaku mentor kepada peserta yang telah disaring. Setiap peserta akan dipilih untuk mewakili PPR masing-masing dalam pertandingan antara PPR.
“Kita nak beri kesedaran khususnya kepada anak muda menerusi aktiviti seni. Jadi, di bawah program ini kita cungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan,” jelasnya.
Ditanya tentang lagu baharu, Zur Eda memberitahu, dia belum menemui lagu-lagu yang betul sesuai dengan jiwanya.
“Bukan tak ada komposer yang menawarkan, malah ramai yang bertanyakan sama ada saya masih berminat merakam lagu atau tidak.
“Saya agak cerewet tentang lagu. Kalau boleh biarlah lagu yang relevan dengan usia dan cita rasa saya. Peminat pun tahu saya lebih cenderung kepada muzik latin atau bosanova.
“Saya boleh nyanyi lagu balada, tapi mungkin bukan jiwa saya kerana minat lebih kepada muzik rancak dan bertenaga,” jelasnya.
JAGA KESIHATAN
Di sebalik tubuh langsing dan rupa paras ibarat anak dara berlaku pengorbanan besar terpaksa dilakukan.
Jelas Zur Eda, tiada jalan pintas dengan melakukan pembedahan kosmetik atau suntikan membahayakan, hanya sekadar amalan penjagaan makan dan kesihatan.
“Saya ini orangnya bersederhana dalam pelbagai perkara termasuklah tentang pemakanan.
“Saya kurangkan pengambilan gula, garam dan banyakkan makan ulam-ulaman sehingga ada yang menggelar saya kambing.
“Dalam usia yang sudah meningkat ini segalanya kena dikurangkan. Kita jagalah diri sendiri,” sambungnya. – UTUSAN