KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha sebak dan terharu apabila menerima sekotak hadiah daripada seorang peminat cilik yang dikenali dengan nama Aishah.
Menerusi satu hantaran di Tiktok, Daiyan mengakui cukup terharu dengan pemberian tersebut meskipun barangan yang diberikan bersifat keanak-anakan dan tidak sesuai untuk wanita dewasa sepertinya.
“Saya memang selalu sangat dapat hadiah daripada peminat. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak dan saya sangat hargai semua hadiah-hadiah yang anda semua berikan.
“Tetapi apa yang saya nak kongsikan hari ini, saya ada dapat hadiah daripada seorang anak kecil, mungkin dia berusia antara 11 dan 12 tahun. Kalau tengok dengan barang-barang yang dia berikan ini, memang comel-comel.
“Sebelum saya buka, saya pun tak tahu nak jangka apa. Tetapi bila saya buka kotak itu, tak tahulah agaknya saya sensitif sikit pada bulan Ramadan ini. Saya tersentuh hati kerana barang-barang ini adalah apa yang anak kecil itu suka.
“Tentunya bukan sesuai untuk wanita dewasa. Namun barang-barang ini adalah apa yang dia suka dan dia berikan kepada saya,”katanya.
Selain itu, Daiyan berkata, dia juga tersentuh hati kerana memahami betapa bermaknanya pemberian tersebut daripada seorang anak kecil yang benar-benar menyayangi dirinya.
“Faham tak betapa bermaknanya hadiah ini untuk seorang anak kecil. Dia berikan apa yang dia suka dengan kemampuan yang dia ada dan dia hadiahkan pada saya. Terima kasih Aishah.
“Saya doakan awak dimurahkan rezeki dan dapat banyak duit raya. Terima kasih kerana suka pada saya,”katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran video itu, Daiyan menunjukkan sebuah kotak hadiah yang mengandungi lukisan kecil, pen unicorn, kotak pensil, pelekat dan gula-gula tic tac mini yang diberikan oleh peminat ciliknya itu.