KOREA SELATAN : Penyanyi dan pempengaruh Youtube, Daud Kim, yang memeluk Islam sejak lima tahun lepas meluahkan hasrat mahu membina sebuah masjid di bandar Incheon, Korea Selatan.
Kim atau lebih dikenali sebagai Jay Kim, 32, berkongsi berita gembira itu menerusi akaun rasmi Instagram miliknya kelmarin.
Menerusi hantaran tersebut, Kim menunjukkan sebidang tanah yang berjaya dibeli serta dokumen bukti pembelian untuk pembinaan masjid.
“Akhirnya saya berjaya membeli tanah untuk pembinaan masjid di sini. Impian saya sudah tercapai,” tulisnya di kapsyen video.
Mengikut perancangan, kata Kim, dia akan membina sebuah masjid serta sebuah studio podcast Islam untuk memyebarkan dakwah kepada masyarakat Korea.
“Saya percaya bahawa ini adalah satu langkah yang besar. Sudah pasti banyak cabaran yang perlu dihadapi tetapi saya yakin boleh mengatasinya.
“Semoga setiap saat jalan di Korea akan dipenuhi dengan alunan azan yang merdu, maka dengan itu, saya akan buat yang terbaik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kim turut membuka ruang kepada sesiapa yang ingin membantu dari segi kewangan dengan memberi pautan untuk sumbangan derma.
“Saya perlukan bantuan kewangan untuk siapkan masjid ini. Sekiranya ada yang ingin membantu, boleh menyumbang di sini. Terima kasih banyak,”jelasnya.
Untuk rekod, Kim mengumumkan telah memeluk agama Islam menerusi satu hantaran video YouTube pada tahun 2019.
Penyanyi dari Korea Selatan itu juga mengakui telah menjalani ibadah umrah pada bulan Ramadan 2022.