KUALA LUMPUR : Komposer terkemuka tanah air, Datuk S Atan, 75, meluahkan rasa syukur kerana sekali kali mendapat tajaan bagi menunaikan ibadah umrah bersama isterinya di Mekah.
Perkara baik itu dikongsikan oleh S Atan ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini sekali gus menyaksikan keterujaannya untuk menyambut Aidilfitri buat pertama kalinya di Tanah Suci nanti.
“Saya bersyukur kerana berpeluang buat umrah dan seterusnya menyambut Aidilfitri di Mekah. Ini pengalaman pertama saya berpuasa dan sambut raya di sana.
“Sebenarnya saya dan isteri tiada perancangan pun nak pergi pada masa ini kerana kami tiada duit. Tak sangka ada pihak taja kami untuk ke sana,”katanya.
Komposer denga nama sebenar Hashim Said ini berkata, dia akan bertolak ke Jeddah, Arab Saudi bersama isterinya, Datin Norizan Yeob pada esok iaitu 3 April dan akan pulang ke Malaysia pada 15 April.
“Ini kali kelima kami mengerjakan umrah dan semuanya mendapat tajaan dari bekas penyanyi, Datin Seri Rina Rahman. Kami pun pernah pergi haji pada 2019 yang juga ditaja.
“Saya pernah jadi penerbit albumnya dahulu. Seingat saya, selepas rakaman album, saya akan belanja artis-artis makan. Mungkin dari sini mereka kenang jasa saya.
“Kami terkejut apabila Rina minta kami siapkan pasport untuk hantar kami ke Makkah. Tapi dia tak ikut serta. Kami terima pelawaannya kerana nak rasa suasana beraya di Makkah. Dia juga bekalkan kami dengan wang yang agak besar jumlahnya,” katanya.
S. Atan ditemui ketika hadir pada pelancaran Bazaria Aidilfitri anjuran Rofar Vista (M) Sdn Bhd dengan usahasama Laga Emas Entertainment dan band pengiring Symphony Buskers di Lot 4, Jalan TAR baru-baru ini.
Dia bersama artis antaranya Sofiah Ibrahim, Hairee Kool, Riot Kool, Rahmad Mega, Chef Yang Jamil dan Uchop Ahmad diberikan penghormatan memotong riben bersama Pengarah Urusan Rofar Vista (M) Sdn Bhd, Datuk Mudzafar Kamarudin, Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Ibrahim Yusof, Timbalan Pengarah Penjaja DBKL, Marwan Che Desa dan Timbalan Pengarah Perumahan DBKL, Ibnu Sina Ahmad Termizi.
Sementara itu Mudzafar berkata, dia baharu mengenali S. Atan seminggu sebelum Ramadan dan menyenangi peribadinya yang mudah berkawan.
“Dia kerap datang ke sini untuk berbual-bual. Jadi saya ajak datang ke pelancaran Bazaria Aidilfitri bersama artis-artis lain. Niat saya pun nak tolong artis juga. Saya juga suka berkawan dengan artis seperti Shidee, Mel dan ramai lagi.
“Lokasi ini sememangnya dah jadi trend setiapkali Ramadan. Ingat jalan TAR pasti akan ingat Hari Raya. Ini kali kedua Bazaria Ramadan diadakan.
“Tapi tahun ini paling meriah. Ada 50 gerai jualan semuanya dan 12 gerai makanan. Setiap tahun sambutan amat menggalakkan. Ia mula dibuka pada hari kedua Ramadan dan akan berakhir pada malam raya. Waktu operasi dari jam 4 petang sehingga 4 pagi,” katanya.