Saya sayang arwah ibu mentua macam ibu sendiri - Cik Piah - Utusan Malaysia

Saya sayang arwah ibu mentua macam ibu sendiri – Cik Piah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyampai radio Suria FM, Cik Piah mengakui terkesan dengan pemergian ibu mentuanya, Asnah Mohd Amin, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada Ahad lalu.

Cik Piah atau nama sebenarnya, Feeya Iskandar berkata, meskipun dibelenggu dengan perasaan sedih dan terkejut, dia bagaimanapun reda dengan takdir yang sudah tertulis.

“Arwah memang sudah tidak sihat, sejak kebelakangan ini pun keadaan dia makin lemah dan kurang bercakap.

“Tidak sangka pula dia akan dijemput Ilahi secepat ini. Kami ingat selepas bawa arwah ke hospital untuk dapatkan rawatan dan makan ubat, keadaanya semakin baik.

“Kami dan seluruh ahli keluarga reda dengan pemergiannya, kita yang masih hidup perlu teruskan kehidupan seperti biasa,” ujarnya.

Cik Piah berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran kempen Raikan Yang Dirai yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Selain itu, kongsi Cik Piah, dia tidak pernah berbalah dengan ibu mentuanya itu sepanjang menjadi menantu malah sentiasa dilayan dengan baik dan dimanjakan arwah ketika hayatnya.

“Saya sayang arwah macam ibu sendiri. Hubungan saya dan mentua baik sahaja dan kami tidak pernah berbalah sepanjang saya bergelar menantu.

“Pada waktu subuh itu, saya sempat berjumpa arwah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Alhamdulillah, pemergian arwah dalam keadaan sangat tenang,” katanya.

Dalam pada itu, Cik Piah dan keluarga turut bersyukur dengan kehadiran keluarga yang datang menziarahi termasuk anak cucu.

“Terima kasih pada yang datang menziarahi dan mereka yang bertanya khabar. Buat masa ini juga, suami saya masih dalam keadaan bersedih, maklumlah dia sebagai anak bongsu sangat rapat dengan arwah ibu.

“Pun begitu, kami semua perlu reda dengan takdir,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya