PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha, menganggap ujian Covid-19 yang dilaluinya mempunyai hikmah tersendiri selain menjadi petunjuk siapakah individu yang ada bersamanya semasa ditimpa kesusahan.
Dalam sebuah hantaran video di media sosial, pelakon drama Rampas Cintaku itu memberi bayangan ada pihak yang seakan-akan tidak peduli dikala dirinya sangat memerlukan sokongan moral.
“Syukur sekeluarga bebas Covid. Sejujurnya, untuk tunjukkan kasih sayang dan perhatian, tidak semestinya dengan barang. Tapi cukuplah sekadar mesej bertanya khabar dan ambil tahu dalam tempoh 24 jam perkara itu terjadi.
“Bukannya lepas beberapa hari baru nak bertanya khabar. Janganlah bagi alasan takut mengganggu sebab itu tidak masuk akal. Ada banyak cara nak berhubung seperti bertanya kepada orang sekeliling.
“Masa itu kita sangat perlukan sokongan moral, emosi saya sangat terganggu Khamis tempoh hari,”jelasnya.
Selain itu, Fasha turut berterima kasih kepada pihak yang menghubunginya sepanjang kuarantin dan menganggap ia adalah bukti kasih sayang.
“Satu panggilan telefon selama seminit pun sudah memadai. Tiada alasan, kita faham tengah syok beraya sampai terlupa nak ambil tahu.
“Di sini kita belajar, siapa ada dan siapa yang tiada ketika kita ditimpa masalah. Bagi saya kasih sayang kena ditunjukkan ketika orang itu masih hidup. Jika sudah pergi, maka tiada gunanya,” katanya lagi.
Terdahulu, pada hari raya pertama, Fasha memaklumkan disahkan dijangkiti Covid-19.Trauma dengan perkara itu membuatkan Fasha memutuskan untuk tidak lagi beraya di kampung bermula tahun hadapan.