Kumpulan indie terkenal The A.C.A.B bakal membuat kemunculan semula bagi peminat mereka setelah 18 tahun menyepi dalam industri muzik tanah air menerusi persembahan satu malam yang dinamakan ‘This is The A.C.A.B’. – Indie Nostalgic Showcase 2024.
Persembahan khas kumpulan ini akan diadakan pada 1 Jun 2024, pukul 8.30 malam yang bertempat di Auditorium Muzik Bentley, Mutiara Damansara, yang sekaligus mampu merawat kerinduan yang lama terpendam buat peminat mereka.
Bagaikan kelahiran semula apabila anggota asal seperti Edy (gitar), Irfan (drum) serta Mono dari The Times (bass) dan Max atau nama sebenarnya Megat Hafiz (gitar/ vokal) menyertai semula untuk bersama membentuk kembali jenama The A.C.A.B.
“Kami berharap para peminat muzik dan semua anggota akan berkumpul pada malam tersebut untuk bersama-sama bernostalgia dengan lagu-lagu kami”,ujar Megat mewakili kumpulan yang turut merupakan penganjur bagi showcase tersebut.
‘This is The A.C.A.B.’ merupakan naskah sulung kumpulan ini setelah membuat kemunculan semula pada tahun 2005 sekaligus menjadi album terlaris di Malaysia selama 3 minggu berturut-turut di Carta RIM.
Sepanjang tempoh 2005 hingga 2007, The A.C.A.B. berjaya memberi impak di persada muzik Indie Malaysia apabila muncul dalam dua buah konsert besar iaitu, Rock The World pada tahun 2006 serta 2007 dan berjaya membuat persembahan di beberapa rancangan serta showcase sendiri.
Semestinya persembahan ini dianggap buah tangan khas kepada peminat yang telah sekian lama menyokong perjuangan seni mereka. Dan pastinya ini merupakan satu momen berharga yang bakal dinantikan malah boleh diibaratkan sebagai satau misi reunion untuk bertemu ‘sahabat’ dan pengikut muzik indie.