PETALING JAYA : Madu Marissa Dania, Umisya Mazlan, tampil menafikan bahawa hubungannya dengan anak pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi itu akrab sebagaimana yang disangka orang ramai.
Menurut Umisya, video yang dikongsi menerusi akaun Instagram milik Marissa itu telah dirakam sebelum kontroversi rumah tangga mereka menjadi tular.
Bagaimanapun, akui Umisya, dia kini sudah menerima poligami dengan hati yang terbuka.
“Gambar itu dirakam sebelum kisah kami tular lagi. Kini saya sudah terima poligami dan reda dengan apa yang terjadi.
“Kami sudah pun berdamai tetapi selepas kisah kami tular di media sosial, keadaan sudah berubah tidak seperti dahulu lagi.
“Ada berlaku sedikit perbalahan, jadi saya dan Marissa buat keputusan untuk meletakkan had antara hubungan kami berdua dengan memilih membawa haluan masing-masing,” katanya.
Tegas isteri pertama Aslam itu lagi, hubungan mereka tidak serapat yang disangka namun tidak juga bermusuh.
“Saya tidak pernah cakap kami bergaduh, namun hubungan kami sekarang tidak seperti yang digambarkan menerusi video itu.
“Mungkin satu hari nanti Marissa nak berbaik dengan saya kan? Mungkin Marissa rindu, Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Lama ya kita tak berhubung,” tulisnya dalam satu hantaran di Insta Story (Igs).
Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata itu menekankan kepada semua pihak supaya menjaga sensitiviti mereka selepas kontroversi yang ditimbulkan oleh satu jenama pakaian.
Untuk rekod, Marissa Dania telah bernikah secara senyap-senyap dengan Aslam pada Disember lalu di Songkhla, Thailand.
Perkara tersebut menjadi bahan bualan ramai memandangkan timbul dakwaan bahawa keluarga Marissa juga tidak mengetahui mengenai perkahwinan tersebut pada awalnya.