SEJUJURNYA, sebelum ini, pernah sahaja wujud isu bahawa industri seni lakon tempatan semakin ketandusan bakat-bakat baharu khususnya bagi kategori pelakon cilik atau pelakon kanak-kanak.
Hinggakan, ada yang mendakwa sudah muak melihat wajah-wajah yang sama terpampang di kaca televisyen. Asal watak budak kecil, jadi anak, jadi adik, wajah yang sama sahaja diberikan tawaran, seakan tiada lagi pelakon lain yang boleh diangkat sebagai pelakon cilik.
Pun begitu, barangkali kerana menyedari corak atau suasana industri perfileman dan drama itu harus berubah, maka usaha untuk mengangkat pelakon kanak-kanak dilihat giat dilakukan oleh kelompok pengarah dan penerbit.
Ini merupakan satu suasana yang positif dan seharusnya disokong demi menyaksikan industri seni tanah air tidak lesu atau tepu dengan wajah-wajah yang sama setiap kalinya.
Berikut adalah antara pelakon cilik yang Hits kumpulkan dan diyakini berpotensi besar untuk menjadi pelapis pelakon tempatan pada masa akan datang.
Kesemua mereka ini sama-sama terbabit dalam filem Memoir Seorang Guru terbitan Tanah Merah Ventures Sdn. Bhd. dan Kamalariff Holdings Sdn.Bhd yang akan menemui penonton pada 30 Mei ini.
Pinjam semangat Fasha Sandha – Kiky Hannah
Memulakan kerjaya lakonan sejak berusia tujuh tahun, Kiky Hannah, 12, adalah antara pelapis pelakon kanak-kanak yang mana bakatnya telah diketengahkan menerusi beberapa naskhah drama dan telefilem tempatan.
Mengakui meminati bidang lakonan dan serius menjadikannya sebagai satu punca pendapatan dari kecil, Kiky begitu mengidolakan aktres Fasha Sandha yang disifatkannya sebagai seorang pelakon yang sangat berkaliber.
“Sejak dari kecil, saya terfikir nak jadi macam dia (Fasha). Bagi saya dia seorang aktres yang sangat berdisiplin dan menjaga etika kerjanya. Satu lagi, saya juga sangat mengagumi pelakon, Anna Joblings. Dia cantik dan ada stail tersendiri.
“Bagaimanapun, saya tahu, sekadar minat sahaja tidak cukup. Jadi dari semasa ke semasa, saya masuk kelas asas lakonan dan berlatih. Saya belajar macam mana nak beri ekspresi, bermonolog dan sebagainya,”katanya.
Dalam pada itu, kata Kiky, dia juga sedar, pelajaran juga penting dan wajar menjadi keutamaan meskipun sedang sibuk dengan dunia lakonan.
“Saya percaya, pelajaran itu penting. Walaupun sibuk dengan aktiviti seni lakon, saya tak nak lupakan pelajaran. Ia harus bergerak seiring.
“Biasanya, kalau tak dapat hadir ke sekolah, ibu bapa akan maklumkan kepada guru secara bersurat. Tetapi di rumah atau set, saya tetap tak abaikan pelajaran,”katanya.
Salam Skuad pencetus minat berlakon – Danish Zamri
Pelakon berusia 13 tahun ini mula menceburi bidang lakonan sejak berusia lapan tahun. Menurut Danish Zamri, ia adalah satu keputusan terbaik yang pernah dilakukannya setakat ini kerana ia seiring dengan minat yang telah lama dipendam sejak kecil.
Kongsi Danish, segalanya tercetus kerana naskhah Salam Skuad yang ditontonnya ketika kecil dan daripada situ, hasratnya untuk bergelar seorang pelakon semakin membuak-buak.
“Memang dari kecil saya beritahu pada ayah dan ibu yang saya nak jadi pelakon. Saya minta ayah tolong carikan sesi uji bakat dan banyak juga sesi yang dah saya sertai termasuk pertandingan lakonan.
“Saya percaya kalau banyak sertai uji bakat dan pertandingan, ia umpama kita buat latihan juga, asah bakat. Setakat ini bagi saya, watak yang susah nak dibawakan adalah menangis dan bergaduh. Bagi saya ia mencabar,”katanya.
Selain itu, kata Danish, dia tidak meletakkan had umur sama ada mahu meneruskan bidang lakonan ini selamanya atau sekadar menjadikan bidang ini sebagai satu hobi.
“Saya tak tahulah sampai bila nak jadi pelakon. Saya ikut sahaja apa yang Allah SWT telah aturkan. Sekarang saya fokus pada bidang ini tetapi mana tahu akan datang saya buat kerja lain dan jadikan ini sebagai hobi.
“Berlakon ini, apa yang seronoknya, kita boleh jadi macam-macam. Cuma, saya sedar bidang ini tiada jaminan dan gaji yang tetap. Tetapi, setiap duit bayaran hasil kerja lakon, saya simpan. Kena pandai menyimpan untuk kegunaan masa depan,”katanya.
Berlakon untuk buang rasa malu – Hafiy Al Tamis
Merupakan rakan persekolahan Danish Zamri, Hafiy Al Tamis yang juga berusia 13 tahun ini mengakui mula terlibat dalam dunia lakonan kerana mahu mencabar diri, membuang sifat pemalu dalam dirinya.
Kata Hafiy, dia masih ingat, ibunya bertanya sama ada mahu mencuba bakat dalam bidang lakonan atau tidak dan tanpa berfikir panjang, pertanyaan itu disambut dengan keinginan yang positif.
“Mak pernah tanya nak jadi pelakon tak? Saya kata mahu! Satu sebabnya, saya pun selalu tonton rancangan Astro Ceria, jadi timbul minat dari situ. Sebenarnya, saya dari kecil sukar buang sisi pemalu dalam diri.
“Jadi saya cabar diri untuk terlibat dalam bidang lakonan ini dengan harapan dapatlah kikis perasaan malu itu. Alhamdulillah, ia berhasil dan sekarang saya semakin okey walaupun adalah sikit-sikit malu itu,”katanya.
Ditanya mengenai siapakah idolanya dalam dunia seni lakon, Hafiy bagaimanapun tanpa berfikir panjang lekas menyebut nama aktor, Azhan Rani.
Baginya, Azhan merupakan seorang pelakon yang bermutu dan peluang berlakon bersamanya menerusi naskhah drama Anak Tuan adalah antara pengalaman yang sukar dilupakan.
“Dia seorang pelakon yang sangat sporting. Abang Azhan pun ajar saya cara berlakon dengan baik. Selebihnya, untuk menggilap bakat lakon, saya juga banyakkan berlatih di hadapan cermin.
“Kalau di sekolah, ramai tahu saya pelakon. Ada juga yang ejek-ejek, tetapi saya buat tak tahu sahaja,”katanya.
Idola saya ialah Allahyarham Tan Sri P Ramlee – Baqir Jamalullail
Jarang sekali untuk anak muda dan sekecil Baqir Jamalullail yang berusia 12 tahun mahu menyebut nama-nama seniman agung sebagai idola mereka. Namun itulah yang terjadi apabila Baqir tanpa ragu-ragu, menyebut perihal ini yang menimbulkan rasa kagum di hati ramai.
Menurut Baqir yang mula berlakon sejak di usia lima tahun, dia amat mengagumi Allahyarham Tan Sri P Ramlee termasuk naskhah-naskhah arahan dan lakonannya yang sehingga kini masih relevan dalam industri.
“Sebenarnya, saya suka dengan cara lakonan Allahyarham sejak mula menonton nakshah-naskah lakonannya bersama nenek di rumah. Nenek saya minat P Ramlee, jadi secara tak langsung, saya pun jatuh minat sama.
“Paling saya suka, naskhah filem Anakku Sazali, boleh ‘feel’ di jiwa,”katanya dengan selamba.
Ditanya sama ada kesibukan berlakon menjejaskan pembelajarannya di sekolah, kongsi Baqir, dia percaya meskipun dunia lakonan dijadikan sebagai sumber pendapatan, ia tidak bermaksud pelajaran boleh diabaikan.
“Kalau seimbangkan pelajaran dengan minat lakonan itu, saya tak rasa ia akan menjadi satu masalah. Tetapi, seeloknya, lebihkan pelajaranlah sebab itu adalah apa yang menentukan kita di masa depan.
“Saya pun tak fikir akan jadikan lakonan sebagai satu pekerjaaan semata. Berlakon boleh jadi hobi. Tetapi saya suka berlakon sebab boleh jadi sesiapa sahaja.
“Cuma, saya nak cuba watak lain pula selepas ini, asyik bawa watak sedih sahaja. Kalau dapat lawan-lawan pun seronok,”katanya.