KUALA LUMPUR : Anak angkat Allahyarham pelakon dan pengacara, Jaafar Onn, Mohd Hanif Mohd Hashim memaklumkan bahawa bapanya itu meninggal dunia ketika sedang melakukan prosedur endoskopi yang dijalankan pada pagi tadi.
Menurut Hanif, pihak hospital sebelum itu telah memaklumkan bahawa prosedur berkenaan sememangnya berisiko tinggi berikutan keadaan jantung arwah dalam keadaan lemah ketika itu.
“Pagi tadi papa (Jaafar Onn) ada melalui prosedur endoskopi dan doktor memang ada beritahu prosedur itu berisiko sebab papa ada masalah jantung lemah tapi terpaksa buat sebab pendarahan.
“Kadar denyutan jantungnya dia memang tinggi sampai 140. Masa buat endoskopi sekitar pukul 10 pagi dan ketika melalui prosedur itu, papa mengalami serangan jantung dan kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 11.32 pagi,”katanya.
Dalam pada itu, Hanif turut memberitahu pada mulanya arwah pergi ke klinik disebabkan mengalami tekanan darah rendah dan pendarahan tanpa henti semasa membuang air besar.
Tambah Hanif, doktor turut memaklumkan kemungkinan pendarahan itu berlaku disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil terlalu lama.
“Papa mulanya mengalami tekanan darah rendah kelmarin dan dalam pada sama dia juga membuang air besar berdarah. Pendarahan itu terlampau banyak dan tak berhenti.
“Kemungkinan pendarahan itu disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil oleh papa. Kalau diikutkan, memang dah lama papa ambil ubat itu, sebelum saya jaga dia lagi.
“Ubat tahan sakit itu dia makan sebab sakit lutut. Bulan puasa tahun lepas dia dapat tahu ada masalah jantung. Masalah jantung itu juga menyebabkan kakinya bengkak.
“Najis berdarah itu pula mungkin disebabkan ada ulser dalam perut. Patutnya bulan Februari ada rawatan susulan tapi tak dapat pergi sebab ada urusan lain. Lagipun ketika itu, arwah rasa pembuangan dia sudah baik,”katanya.
Untuk info, jenazah akan diuruskan dahulu di hospital sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga untuk disemadikan di Tanjung Ganding, Muar, Johor.
Terdahulu, Jaafar Onn dilaporkan telah pun menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang (HSIS) kira-kira jam 11.33 pagi tadi.
Kesihatan arwah dilaporkan merosot sebelum ditahan wad HSIS selepas mengalami pendarahan semasa membuang air besar.