AMPANG: Penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz, menafikan dakwaan isterinya, Fara Roslan yang mengatakan dia sukar dihubungi untuk bertemu anak keduanya, Ibrahim yang berusia dua tahun.
Ippo berkata demikian ketika ditemui semasa prosiding kedua tuntutan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Ampang hadir bersama peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan pada pukul 9:35 pagi tadi.
“Saya menafikan kenyataan Fara (tidak angkat panggilan telefon).Kalau dia ada bukti, dia boleh tunjukkan di mahkamah, bukannya media sosial. Dia lebih tahu apa yang sebelum ini kami bincangkan.
“Pada saya, bila banyak fitnah lebih baik kita serahkan di mahkamah. Segala tomahan fitnah yang berlegar di laman sosial, saya serahkan kepada mahkamah dan cerita semua di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, hari ini.
Penyanyi lagu Kekal Bahagia itu turut menjelaskan spekulasi kononnya sudah berpindah ke kediaman berbeza.
“Kita tak pindah cuma kadang kala saya ada kerja di tempat lain. Buat masa ini saya menikmati masa dengan Ibrahim dan dia gembira bersama saya. Ya, saya menjaga Ibrahim sendiri,” katanya.
Dengan kemelut rumah tangga yang menjadi perhatian, Ippo bagaimana berharap agar orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat keluarganya.
“Susah saya nak cakap mengenai perkara itu, saya serahkan kepada mahkamah.
“Tipulah kalau tiada perasaan sayang. Keluarga ini memang kita ada perasaan sayang. Tapi apa yang boleh saya cakap, saya minta semua doakan yang baik-baik.
“Dia masih isteri saya dan saya menghormati dia, jadi lindungilah maruah suami,” jelasnya.
Terdahulu, Fara mendedahkan tidak bertemu anak keduanya sejak Februari lantaran Ippo sikar dihubungi.
Walaupun nusyuz telah difailkan namun pihak Ippo belum menerima notis penyerahan permohonan cerai dan hadanah daripada Fara Roslan.