Gugurnya permata seni serba boleh - Utusan Malaysia

Gugurnya permata seni serba boleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 3 April 2024 menjadi detik pilu dalam industri seni tanah air apabila perginya seorang lagi permata seni menghadap Ilahi. Jaafar Onn Awang atau Jaafar Onn akan terus dikenang sebagai selebriti serba boleh yang berjasa kepada dunia hiburan tempatan.

Bukan saja berbakat dalam lakonan, pengacaraan dan nyanyian, Allahyarham juga seorang yang berkemahiran dalam bidang masakan dan pernah menerbit buku resipi, Dari Dapur Chef Jaafar Onn.

Penghijrahan Jaafar ke Kuala Lumpur sekitar tahun 70-an telah membuka banyak peluang untuknya dalam dunia seni. Allahyarham dulu pernah menjadi penari dan pada masa yang sama menjadi guru memasak dan andaman di Persatuan keluarga Polis Malaysia (PERKEP).

Pada 1973, Allahyarham muncul dalam program masakan terbitan RTM, Dunia Wanita yang ketika itu dihoskan Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail.

Bakat nyanyian dan lakonan Allahyarham mula menonjol bermula era 80-an. Sepanjang penglibatan lebih lima dekad, Anak kelahiran Muar ini telah muncul menerusi lebih 20 filem, lebih 13 drama dan enam telefilem.

Antara filem yang dibintangi arwah seperti XX Ray, Suami, Isteri dan ….?, Aku No. 1, Bintang Hati dan banyak lagi. Namun Allahyarham juga paling diingati menerusi drama Cili Padi , Sambal, Sephia dan banyak lagi.

Jaafar juga pernah mengasaskan Maya Studio yang mengetengahkan nama-nama besar dunia lakonan seperti Liza Abdullah, Norlida Ahmad, Erma Fatima, Ziela Jalil, Radhi Khalid dan ramai lagi.

Rakan selebriti, selepas ketiadaan arwah mengenang jasa dan kebaikan Jaafar Onn yang terkenal dengan sikap prihatin dan pemurahnya.

Menurut sahabat baik arwah yang juga penyanyi, Salwa Abdul Rahman, antara kelebihan yang Allah kurniakan kepada Allahyarham adalah sikap prihatinnya kepada anak-anak yatim.

“Arwah sedari dulu rajin menyantuni anak-anak yatim. Setiap kali Hari Raya, beliau akan menganjurkan majlis untuk golongan itu di Selayang Mall.

“Arwah juga sering menjamu anak-anak yatim dengan masakannya. Boleh kata Allahyarham ini terlalu dekat dengan mereka,” katanya yang dihubungi semalam.

Kehilangan arwah meninggalkan kesan buat Salwa, yang sejak dulu mengenali rapat seorang Jaafar Onn. Katanya, arwah juga antara rakan artis yang ringan membantu rakan-rakan lain yang dalam kesusahan.

“Untuk makluman, sebenarnya ketika berkahwin, saya lebih dahulu bersanding di rumah arwah yang menawarkan diri untuk menempah pelamin di kediamannya dekat Jalan Telawi, Bangsar pada tahun 1990.

“Beliau menganjurkan majlis kecil-kecilan untuk persandingan saya, menjemput rakan artis dan memasak untuk menjamu tetamu yang hadir.

“Beliau juga rajin berkongsi rezeki, selalu memanggil rakan selebriti seangkatannya untuk membuat persembahan. Terlalu banyak kebaikan arwah yang boleh diceritakan dan mungkin disebabkan itu beliau direzekikan untuk pergi di bulan mulia,” kongsinya.

JAAFAR ONN
ARTIS DAN PAKAR MASAKAN
SCAN
ARKIB FOTO PUSAT MAKLUMAT
JAAFAR ONN
LABUR 70 SEN, ‘GILA’ SARIMAH
Majalah URTV jadi medan uji minat seni
NOTA
TERBITAN
UTUSAN MALAYSIA
MEGA
11 NOVEMBER 2015
RABU
MUKA 4
ARCHIVED BY ZBR

MUDAH MESRA, CERIA

MENGENALI Jaafar ketika sama-sama membintangi drama Cili Padi, pelakon, Tam Suhaimi tidak melupakan kenangan indah yang Allahyarham tinggalkan kepada semua tenaga kerja produksi drama fenomena itu.

“Dia pemurah. Masa penggambaran Cili Padi dulu, arwah beberapa kali mengajak kami makan di rumahnya.

“Kali pertama jumpa arwah, saya langsung tak terasa asing. Sifatnya yang mesra dan ceria menyenangkan semua orang. Dia juga bukan seorang yang bermuka-muka. Dia yang anda lihat di televisyen adalah dirinya sebenar.

“Kita kehilangan permata seni yang besar sumbangannya kepada industri. Saya mendoakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan beriman,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya