“Ia pencapaian yang manis.”
Berikut maklum balas penyanyi bersuara lantang, Ernie Zakri tentang pencalonan dalam anugerah berprestij Indonesia, SCTV Music Awards menerusi lagu Masing-Masing.
Pada Ernie pencalonan itu sudah cukup membuatkan hati berbunga, Jika menang, tentunya sudah menjadi rezeki yang ditentukan.
Namun, pencalonan itu bukan satu-satunya pencapaian diraih penyanyi genit ini menerusi lagu berkenaan.
Ernie, menerusi lagu Masing-Masing, membuktikan telah keluar zon selesa dan tidak lagi terselindung dalam kepompong sama.
“Sampai sekarang masih ada orang yang tak tahu saya adalah penyanyi lagu tersebut.
“Mereka tak sangka, kerana selalunya saya sering membawakan lagu-lagu bernada tinggi.
“Ia adalah pengalaman yang jauh berbeza. Lagu Masing-Masing pula istimewa untuk pendengar Malaysia dan Indonesia. Disebabkan lagu itu kerjaya seni saya diikuti pendengar berbeza-beza,” katanya.
Bagaimana bentuk hala tuju nyanyian Ernie selepas ini?
Adakah disebabkan sambutan yang baik pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri akan terus bereksperimentasi dengan lagu galau dari penulis dan komposer seberang?
“Bergantung kepada permintaan. Saya akan nyanyikan lagi kalau peminat mahukan.
“Tapi saya taklah nyanyikan satu-satu lagu itu sekadar mengikut trend semasa. Kalau lagu sedap didengar dan boleh menonjol, kenapa tidak?,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Ernie memaklumkan bakal sekali lagi bekerjasama dengan kumpulan Govinda menerusi sebuah single yang genrenya berbeza.
“Ia sebuah lagu balada ceria tentang cinta. Sebuah genre romantis yang tentunya disukai pendengar.
Belum ada ketetapan untuk keluarkan lagu ini. Saya kena cari masa yang tepat dan sesuai,” ujarnya.
TUNGGU KHAWLA SEDIKIT DEWASA
BERCAKAP soal zuriat, Ernie memaklumkan perlu berfikir semasak-masaknya sebelum hamil sekali lagi.
Katanya meskipun sedang merancang, dia dan suami, Syamel perlu menitik beratkan pelbagai perkara, mencari masa sesuai untuk menambah zuriat.
“Ramai menyangka saya dah hamil lagi, sebenarnya tidak. Belum ada rezeki lagi. Insya-Allah saya dan suami merancang. Bukan mudah buat keputusan untuk hamil, sebab selepas melahirkan terpaksa bercuti panjang.
“Saya pun nak tunggu anak saya, Nur Khawla Soleha sedikit dewasa dan mampu memahami ibunya boleh hamil lagi.
“Sekarang banyak perkara yang perlu dia hadam, termasuklah tentang keadaan saya yang sentiasa perlu bekerja. Perlahan-lahanlah, saya nak dia dapat kasih sayang secukupnya sebelum tambah cahaya mata,” kongsinya.