KUALA LUMPUR: Pelakon, Aliff Aziz enggan bercerai dengan isterinya, Bella Astillah selain positif mahu menyelamatkan rumah tangga.
Menurut Alif, 33, keputusan ini diambil demi kebajikan dua orang anaknya.
“Beberapa minggu ini sangat bercampur baur untuk saya. Buat masa sekarang saya akan gunakan semua peluang yang ada untuk selamatkan rumah tangga demi anak-anak. Saya rindu anak-anak saya,” katanya.
Aliff ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi sebutan kedua kes cerai, hari ini.
Mengakui melakukan banyak kesilapan, penyanyi kelahiran Singapura itu walau bagaimanapun merasakan keputusan untuk bercerak tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.
“Saya buat banyak kesilapan, dia juga buat salah. Tapi ini (bercerai) bukan keputusan yang boleh saya buat secara terburu-buru tanpa berfikir panjang. Dalam rumah tangga kita tidak boleh ada pengaruh luar dari rumah tangga.
“Saya minta diberikan ruang agar prosedur ini akan berjalan dengan lancar oleh pihak mahkamah.
“Saya juga berterima kasih kepada pihak mahkamah yang membenarkan proses ini dijalankan dengan langkah yang betul,” katanya.
Aliff meminta orang ramai mendoakan rumah tangganya di samping enggan mengulas mengenai dakwaan sudah sebelas kali curang sepanjang berkahwin.
“Buat masa sekarang saya mohon doa yang baik-baik,” katanya.
Semalam, Bella mendedahkan Aliff Aziz pernah memaklumkan untuk mahu bercerai pada 31 Mac selepas habis penggambaran.
Terdahulu, pada 11 Mac lalu, Bella telah memfailkan permohonan penceraian ‘fast track’ terhadap suaminya, Aliff Aziz atas alasan tiada lagi persefahaman dan dicurangi berkali-kali.
Ketika sebutan pertama kes penceraian pada 13 Mac, Mohamad Aliff Aziz, 33, sebagai defendan tidak hadir kerana urusan kerja selain terlibat dengan penggambaran.
Sebelum ini, rumah tangga mereka menjadi bualan hangat apabila Aliff dilaporkan ditangkap khalwat bersama seorang pelakon, Ruhainies di sebuah kondominium di ibu negara.
Bella hadir ke pejabat Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas dimaklumkan mengenai tangkapan yang dibuat pasukan penguat kuasa terbabit.