KUALA LUMPUR : Masih bergelar isteri orang, pelakon, Bella Astillah, bagaimanapun terpalit dengan khabar angin bahawa kini dia sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang pelakon baharu yang dikenali sebagai Muaz Zabir.
Perkara itu menjadi bualan hangat di platform X termasuk di TikTok selepas ada pihak membuat pendedahan termasuk memuat naik beberapa tangkap layar perbualan di aplikasi Whatsapp yang didakwa milik Bella bersama Muaz.
“Sekarang baru faham kenapa. Ini baru tunjuk sikit,” tulis Edisi Umat dalam ruangan kapsyen.
Menerusi perbualan tersebut, Bella dan Muaz dilihat saling berbalas mesej selain menggunakan kata-kata panggilan mesra antara satu sama lain.
Malah hubungan tersebut didakwa sudah terjalin sejak Oktober tahun lalu selain mereka kerap berkongsi foto rutin harian dalam mesej yang dihantar.
Dalam hantaran sama, swafoto mereka juga didedahkan sekali gus menampakkan kemesraan di antara mereka.
Menjengah ke ruang komen, netizen seakan-akan tidak percaya dengan apa dipaparkan akaun berkenaan selain tetap menunjukkan sokongan kepada aktres tersebut.
Bella dan Muaz dikatakan pernah bekerjasama dalam sebuah drama sekitar September tahun lalu.
Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila suaminya, penyanyi dan pelakon sensasi, Aliff Aziz dan aktres Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Manakala pada 13 Mac lalu, Bella memfailkan cerai terhadap Aliff secar ekspres namun kes itu akan disebut semula pada 4 April 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Untuk rekod Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia tujuh dan empat tahun.