“Redza kata, ‘bagi saja Siti’, jadi saya lempang betul-betul,”
Demikian respons pelakon, Siti Khadijah Halim menceritakan pengalamannya membawakan babak paling berat dalam drama Wanita Syurga.
Menurut Siti, drama yang mengisahkan perasaan wanita dicurangi suami itu sangat menguji emosi serta kebolehannya bergelar pelakon.
Demi menjiwai karakter Ardini Zahira, pelakon asal Kuala Lumpur itu terpaksa mengingati semula pengalaman peribadinya dicurangi kekasih beberapa tahun lalu.
“Saya pernah dicurangi. Jadi saya guna perasaan sedih itu sebaiknya sepanjang lakonan.
“Cuma itulah, jika melibatkan pengalaman sendiri, kita akan teringat benda yang lalu dan sukar untuk move on.
“Tapi sebagai pelakon, kita mesti gunakan pengalaman yang menyedihkan dalam hidup. Jika kita tiada pengalaman seperti itu, kita tiada kisah sedih untuk dipegang,” katanya kepada Hits.
Seumur hidup, Siti tidak pernah angkat tangan atau menggunakan kekerasan fizikal sekiranya bergaduh dengan sesiapa. Oleh itu, Siti agak kekok dan janggal perlu menampar wajah pelakon lain demi menjayakan naskhah.
“Memang ada babak kita ditolak sehingga lebam di tangan. Itu perkara biasa. Cuma babak yang mencabar ialah apabila saya lempang muka Redza kerana di situlah klimaks drama ini.
“Redza yang suruh saya lempang dia betul-betul. Sebab itu kalau anda tengok nanti, cara saya lempang pun agak kekok.
“Walaupun saya ada ilmu bertinju, tapi saya tidak pernah lempang sesiapa,” katanya ketawa.
Doa jodoh di Mekah
Terlalu banyak kes curang atau suami berkahwin lain yang hangat di media sosial tidak menimbulkan kerisauan kepada Siti untuk bertemu jodoh.
“Tahun ini usia saya sudah 27 tahun. Jadi kalau nampak sesiapa pergi umrah memang saya akan minta mereka doakan jodoh yang terbaik untuk saya.
“Baru-baru ini Aniq Suhair ke Mekah, saya kirimkan juga permintaan yang sama menerusi ruangan komen,” katanya.
Gara-gara komen pelakon itu, ramai pula yang menganggap Siti dan Aniq nampak serasi dan setuju sekiranya dijodohkan bersama.
“Kami hanya kawan. Tapi urusan jodoh bukan kerja manusia. Sekarang saya lihat ramai kawan-kawan sudah berkawin.
“Di usia begini, saya juga mahukan keluarga dan anak-anak,” tambahnya.