PETALING JAYA: Pelakon, Shiqin Kamal menafikan dakwaan dia sedang menjalinkan hubungan dengan pelakon dan pelawak, Zizan Razak yang tular baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shiqin atau nama penuh, Nur Ashiqin Mohd. Kamal, 32, itu berkata, hubungan antara mereka hanyalah sekadar kawan sekerja selepas beberapa kali terlibat dalam projek telefilem.
“Saya sendiri pun tak tahu mana mana dakwaan tersebut boleh tersebar tetapi apa yang saya boleh jawab, khabar angin itu sama sekali tidak benar. Saya tidak pernah rapat pun dengan dia (Zizan)
“Kami hanyalah sekadar rakan industri, pernah beberapa kali bekerja sama menerusi telefilem Heistdilfitri dan Heistdiladha tahun lalu. Sebab itu saya pun pelik, macam mana ada gosip bercinta pula ini,”ujarnya.
Terdahulu, nama pelakon Legenda Budak Setan itu mula mencuri perhatian apabila dikatakan semakin rapat dengan Zizan selepas bekerja sama dalam telefilem terbitan pelawak itu sendiri.
Sementara itu, ketika ditanya adakah Zizan memenuhi ciri-ciri lelaki idaman yang mungkin dapat membuka pintu hatinya, wanita berusia 32 tahun ini menganggap pelawak itu sekadar rakan seindustri sahaja.
“Saya rasa semua orang tahu dia bagaimana, jadi ciri-ciri lelaki idaman saya itu tidak ada pada dia. Memang jauh teramat dari dia,” katanya.