KUALA LUMPUR : Pelakon, Datin Seri Umie Aida, mengakui melakukan penghijrahan ke jalan yang baik bukan sesuatu yang mudah jika tidak kekal beristiqamah.
Menurut Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, dia sendiri mengakui perkara itu menerusi pengalaman sendiri sewaktu mula memilih berubah dengan imej muslimah dan memperbaiki diri ke jalan allah SWT sejak 10 tahun lalu.
“Kalau cakap pasal istiqamah apa yang kita sedang cuba lakukan itu memang susah. Sebagai contoh, rutin harian bangun pagi, tidur awal itu semua memang susah dan akan ada ‘up’ and ‘down’ dia.
“Tapi, selalulah bermohon kepada Allah, ‘Ya Allah dengan ilmu tentang agama yang aku ada ini, bantulah diriku ini sentiasa istiqamah berada di jalanMu yang diredai’,”katanya.
Tambah Umie, setiap individu perlu sentiasa berusaha untuk melawan segala anasir yang boleh membuatkan mereka mudah untuk berputus asa terutama dalam memilih jalan kebaikan.
“Tetapi apa pun, kita jangan berdoa sahaja, kita kena ada usaha untuk kekal istiqamah. Janganlah berdoa tapi tak buat apa-apa. Penat memang penat tapi untuk nak dapatkan syurga Allah itu kan penat?
“Setiap manusia itu memang lemah jadi kena sentiasa paksa diri untuk hadir ke majlis ilmu, paksa diri kita untuk sentiasa bersama dengan mereka yang juga mencari jalan yang diredai Allah.
“Apa yang paling penting, paksa diri kita untuk kurangkan daripada terjebak dengan perkara-perkara yang melalaikan,”katanya.
Selain itu, ditanya mengenai cara untuk kekal istiqamah, pelakon yang popular dengan filem ‘Embun’ ini menasihatkan orang ramai untuk kuat berdepan dengan pelbagai dugaan dan sentiasa mencabar diri mendekatkan diri dengan Allah.
“Kena selalu cabar diri kita sebab kita bukannya lahir-lahir dah memang baik, dan setiap orang itu hatinya berbolak-balik.
“Jadi bila Allah bagi kita hidayah, cabar diri kita untuk berubah dan bagi masa diri awak selama 40 hari untuk berubah. Tapi jangan buat yang berat-berat, buat perkara yang asas sahaja dulu.
“Solat fardhu lima waktu itu, jangan sesekali tinggal walau apa pun jadi,”nasihatnya.