mmCineplexes Plus saji pengalaman berbeza - Utusan Malaysia

mmCineplexes Plus saji pengalaman berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Syarikat pawagam terkemuka dalam negara, mmCineplexes, kini membuka pawagam terbaharu di Berjaya Times Square dengan penjenamaan semula sebagai mmCineplexes Plus.

Menurut Pengurus Besarnya, Jason Teo, pawagam baharu tersebut menampilkan teknologi filem terkini termasuk Dolby Atmos, bagi memberikan pengalaman menonton yang mengasyikkan.

Bukan itu sahaja, jelas Jason, pawagam itu turut menyediakan jenis tempat duduk khas untuk pasangan serta tempat duduk berkembar di setiap panggung selain pelbagai akomodasi yang mesra keluarga seperti kemudahan penjagaan bayi sehinggalah ke zon kanak-kanak.

“Ia sekali gus menetapkan standard baharu dalam hiburan untuk penonton daripada semua lapisan masyarakat.

“Sebagaimana kita tahu, masyarakat kita cukup gemar ke panggung wayang kerana ia kekal sebagai salah satu bentuk hiburan yang mampu milik sepanjang tahun.

“Misi kami adalah untuk menyediakan pelanggan dengan tiket filem paling berpatutan di ibu negara dan ini adalah seiring dengan lokasi strategik terbaharu mmCineplexes Plus yang kini terletak di tengah-tengah ibu negara,”katanya.

Kongsi Jason lagi, pawagam 9 skrin yang baru diubah suai itu terletak di Aras 1 dan 3 Berjaya Times Square, menampilkan auditorium Dolby Atmos terbesar oleh mmCineplexes dengan 338 tempat duduk, dewan Elite Plus 44 tempat duduk yang disertakan ruang istirahat mewah, serta Kiddo Studio.

Ia direka untuk memberi kemudahan buat kanak-kanak dan ibu bapa serta membolehkan mereka untuk bersantai bersama-sama melakukan aktiviti atau berkumpul untuk sebarang majlis, contohnya majlis hari lahir.


Selain itu, mmCineplexes Plus turut memperkenalkan semua jenis tempat duduk baharu dan yang pertama di Kuala Lumpur, dikenali sebagai tempat duduk Cabana dan Smoove dengan menawarkan ruang yang luas untuk pasangan dan juga keluarga.

Panggung tersebut turut menampilkan satu-satunya konfigurasi tempat duduk berkembar premium dengan harga yang lebih rendah daripada pawagam berkonsep mewah lain.

Selain itu, komited mewujudkan pawagam Malaysia yang merentasi budaya, mmCineplexes turut memperkenalkan variasi perisa bertih jagung yang disediakan mengikut musim, daripada perisa durian sehinggalah ke Kuih Bangkit yang menyelerakan.

Tidak cuma itu, pengendali pawagam tersebut turut menawarkan akses eksklusif barangan filem, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu pawagam terulung di Malaysia yang terkenal dengan harga berpatutan serta tahap keselesaannya.

“Berjaya Times Square Kuala Lumpur turut tersenarai sebagai antara pusat beli-belah tempatan terbaik untuk pengalaman membeli-belah dan hiburan keluarga di bawah satu bumbung.

“Kami yakin bahawa flagship pawagam baharu ini yang berlokasi di dalam salah sebuah pusat beli-belah terbesar di dunia akan menjadi destinasi popular untuk penonton wayang di Kuala Lumpur, sama ada penduduk tempatan mahupun pelancong,”kata Jason.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Berjaya Times Square, Tan Tee Ming, turut menyatakan antisipasinya terhadap pembukaan mmCineplexes Plus.

“Kami menantikan pembukaan mmCineplexes Plus di dalam pusat beli-belah kami bagi menyediakan pengalaman menonton filem terhebat untuk semua pengunjung di sini. Ramai di kalangan kita yang mengalami sendiri magis panggung di lokasi ini bersama rakan-rakan dan keluarga.

“Kami cukup teruja untuk melihat mmCineplexes bersama-sama dengan banyak lagi penyewa baharu lain seperti Jungle Gym Playland dan BTS Go-Kart untuk merubah tempat yang sangat istimewa ini, membawa lebih ramai peminat filem ke bandar Kuala Lumpur, dan juga meluangkan masa berharga bersama keluarga di sini untuk tahun-tahun akan datang,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN