Majukan seni puisi sastera bukan kerja untuk popular - Utusan Malaysia

Majukan seni puisi sastera bukan kerja untuk popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMARTABATAN puisi dan sastera bukan satu usaha yang popular kerana minat dan penghargaan masyarakat terhadapnya boleh disifatkan masih di tahap rendah.

Kehadiran penggerak untuk memperkasakan program berkaitan juga boleh dikira dengan jari. Mungkin pada mata sejumlah besar penganjur, seni jenis ini kurang popular lantas kurang mendatangkan keuntungan.

Disebabkan itu saya menyanjung orang-orang muda seperti penyanyi dan penulis, Umar Uzair, 35, yang berkorban masa dan tenaga, menggerakkan pelbagai usaha memartabatkan puisi dan sastera.

Umar yang saya temui sempena pentas Cipta Citra – Hari Puisi Sedunia di Ipoh, Perak baru-baru ini memaklumkan kesediaannya untuk terus menjadi penggerak untuk menghidupkan program puisi dan sastera agar seni tersebut tidak hilang ditelan zaman.

“Kita memang kekurangan penggerak, boleh katakan penglibatan penganjur agak ‘sepi’ jika dibandingkan dengan penganjuran seni yang mainstream dan popular. Sebab itu saya terpanggil untuk melibatkan diri, usahakan sesuatu agar seni puisi dan sastera terus hidup dan berkembang.

“Kalau dulu, usaha ini saya gerakkan bersama Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala. Selepas beliau meninggal dunia, saya sambung aspirasinya bersama pasukan saya dibawah Meja Poedjangga,” katanya.

Berpuluh program puisi dan sastera telah berjaya dianjurkan anak muda berasal dari Kelantan ini dengan bantuan warga pasukan Meja Poedjangga.

Sabtu lalu, satu lagi kejayan dilakar menerusi penganjuran Cipta Citra yang menggabungkan nama-nama terkenal dalam dunia seni dan kesusasteraan seperti sasterawan terulung, Datuk Dr. Lim Swee Tin, Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan, bekas ahlis politik dan penulis terkenal Indonesia, Sastri Yunizarti Bakry, Sofia Jane, Alyah dan ramai lagi.

Umar selaku pengarah program berkenaan menyifatkan objektif dan matlamat penganjuran yang berlangsung selama dua hari itu, tercapai.

“Objektif kami adalah untuk wujudkan kesedaran tentang nilai puisi dan sastera kepada masyarakat. Apa lagi yang boleh kita majukan dan ke mana lagi boleh kita bawa?

“Saya sendiri tak sangka dapat kumpulkan orang-orang hebat dalam satu pentas yang gah seperti penganjuran lain. Contoh seperti Sofia, kami hanya memberanikan diri untuk mempelawa dia sertai program ini.

“Tak sangka hanya dengan satu pelawaan dia terus menyatakan persetujuan. Saya rasa amat beruntung dengan penglibatan nama-nama besar ini,” kongsinya.

ACUAN BERBEZA

MENOLAK populariti dan kemasyhuran, Umar berkata fokusnya sebagai anak seni pada masa sekarang adalah menjadi penyambung legasi budaya sastera dan puisi dan memelihara kesenian ini agar terus hidup di mata masyarakat.

“Mungkin 10 tahun dahulu, ya, saya mahu jadi penyanyi popular. Tapi itu bukan lagi matlamat yang saya kejarkan. Saya hanya nak buat kerja dan gerakkan usaha untuk seni sastera dan puisi.

“Saya pernah masuk program realiti, tetapi saya sedar haluan saya bukan di situ. Jalan saya adalah ini, dunia puisi dan sastera. Kita tak ramai penggerak, jadi saya perlu kedepan menggerakkan.

“Saya mahu terus anjurkan program seperti Cipta Citra ini dengan standard tersendiri. Kalau boleh saya nak perbanyakkan lagi program sepertinya. Ini adalah untuk warga sastera dan masyarakat kita,” katanya.

Dalam masa yang sama, Umar juga mahu masyarakat sedar dan tahu tentang nilai penggiat sastera dan kedudukan yang sepatutnya mereka berikan kepada golongan berkenaan.

“Seniman ada nilai dan harga tertentu. Saya, apabila menganjurkan program, mahu hargai golongan ini dengan meletakkan kadar bayaran yang sepatutnya mereka terima.

“Ada sesetangah pihak berpandangan program puisi dan sastera adalah penganjuran bajet rendah, justeru anggapan mereka bayaran untuk sasterawan juga rendah.

“Bagi saya pandangan itu salah. Nilai sasterawan amat tinggi kerana jasa dan sumbangan mereka kepada kesenian adalah terlalu besar. Apabila mereka membuat persembahan, kita perlu bayar mereka sewajarnya. Ini sebahagian cara kita hargai golongan ini,” kongsinya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya