Duduk di kerusi pengarah tinggalan arwah buat saya sebak - Anak Mamat Khalid - Utusan Malaysia

Duduk di kerusi pengarah tinggalan arwah buat saya sebak – Anak Mamat Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah muda, Amen Khalid mengakui tidak mudah buatnya untuk mengumpul semangat bagi meneruskan karya Allahyarham bapanya, Mamat Khalid, khususnya untuk karya francais popular, 19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam.

Menurut Amen, dalam masa dua tahun, dia berusaha menggarap karya tersebut dengan gaya tersendiri tanpa membuang inti dan aura bapanya yang telah sebati dengan francais telefilem tersebut.

“Alhamdulillah, ramai beri saya semangat untuk meneruskan karya popular ini. Selepas arwah meninggal, saya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk kumpul kembali semangat.

Keluarga dan kawan-kawan arwah pun banyak bagi saya sokongan,” katanya.

Dalam masa sama, dia mengakui sebak setiap kali duduk di kerusi pengarah peninggalan arwah bapanya itu.

“Memang ada rasa sayu sepanjang mengarahkan drama ini ditambah pula ini ‘taman permainan’ saya kerana sudah biasa berada di set bersama arwah ayah sejak kecil.

“Ada juga momen saya menitiskan air mata tapi bukan depan orang ramai,”ujarnya.

Sementara itu, dia juga berterima kasih kepada pengarah, Mohd. Latiff Zami atau lebih dikenali sebagai Yoep Hitler kerana banyak membantunya memberikan idea bagi mengarahkan naskhah tersebut.

“Saya mencari idea dengan Yoep dan syukur dia sudi bantu saya. Pada awalnya, saya merasakan tanggungjawab ini agak berat tetapi lama-kelamaan jadi lebih mudah kerana ramai yang mula beri kepercayaan.

“Perlahan-lahan saya kutip semangat dan keyakinan diri untuk mengarahkan karya ini,” ujarnya.

Selain itu, Amen turut memuji barisan pelakon kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang menjayakan filem tersebut.

“Semua pelakon beri kerjasama yang baik dan melayan saya seperti mana mereka bersama ayah dahulu,” jelasnya.

Filem 19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam sudah menemui peminat menerusi saluran Astro First pada 28 Februari lalu.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem ini adalah Bell Ngasri, Aziz M Osman, Joey Daud, Imuda, Dewa Sharwani NS, TJ Isa dan Rashid Mohd.

Filem ini masih mengetengahkan mesej sama seperti naskhah terdahulu iaitu kisah sekumpulan penduduk kampung termasuk watak Barkoba lakonan Bell yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan.

Mengimbau semula, Mamat Khalid meninggal dunia pada usia 58 tahun disebabkan serangan jantung di Hospital Slim River, Perak pukul 12.30 pagi pada 24 Oktober 2021.

Allahyarham dilaporkan rebah di restoran miliknya, Sarang Art Hub di Tangjung Malim dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Paloh, Ipoh pukul 2.25 petang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya