KUALA LUMPUR : Penyanyi, Aiman Tino, berang apabila akaun TikToknya telah digodam oleh seorang individu tidak bertanggungjawab yang melalukan kegiatan tersebut untuk kepentingan diri.
Menurut Aiman, dia bertindak segera menjejaki individu terbabit dengan bantuan rakan-rakan yang mahir dalam bidang teknologi sebelum berjaya menemui kediaman lelaki berusia 18 tahun tersebut.
“Saya berjaya mengesan individu terbabit yang menetap di Padang Serai, Kedah dengan bantuan beberapa pihak. Saya dapat maklumat selepas dia sendiri membuat pembelian di TikTok. Saya bergerak ke Kedah selepas berbuka Khamis lalu.
“Saya sampai di rumahnya kira-kira pukul 4 pagi dan hanya tidur dalam kereta menunggu dia keluar. Sekitar pukul 3 petang semalam Jumaat baru kami bersemuka,” katanya.
Menurut Aiman, dia mempunyai bukti kukuh selain dakwaan jiran yang turut memaklumkan bahawa individu terbabit terlibat dalam kegiatan menipu secara atas talian.
“Pada mulanya dia memang tidak mahu mengaku. Malah saya rasa bapanya juga bersubahat kerana mahu menyembunyikan kegiatan anaknya itu
“Susah juga nak berbincang sebab lelaki itu lari masuk rumah. Saya tidak boleh terus terjah ke dalam rumah dan terpaksa menunggu di luar. Pada masa yang sama, saya sudah buat laporan polis dan tak mustahil selepas ini akan teruskan tindakan saman,”katanya.
Menerusi perkongsian di Insta Story, Aiman memaklumkan individu berkenaan telah mengaku silap dan mohon budi bicara pengurangan bayaran balik kerugian.
Malah, Aiman juga percaya, tindakan lelaki tersebut yang melakukan penipuan terhadap orang ramai terutama terhadap peminatnya boleh memberi kesan kepada nama baiknya.
“Perkara ini bukan sahaja berlaku terhadap saya, tetapi rakan saya, penyanyi, Usop juga menjadi mangsa lelaki berkenaan. Dia guna akaun yang telah digodam untuk meminta duit daripada orang lain.
Pada Isnin lalu, Aiman memberitahu akaun TikTok miliknya digodam dan individu berkenaan mengugut serta meminta sejumlah wang bagi mendapatkan semula akaunnya.