SHAH ALAM : Pelakon, Amar Asyraf, 38, mengakui, tiada istilah merajuk dengan dunia lakonan sehingga dia kemudiannya nekad untuk meninggalkan bidang seni kini.
Malah, menurut Amar, sehingga kini tawaran lakonan masih ada buatnya terutama daripada sahabat-sahabat industri seni yang sudah lama mengenali dan pernah bekerjasama dengannya.
Bagaimanapun, kata Amar, keputusannya untuk berhenti lebih terarah kepada fokusnya untuk mengembangkan dunia perniagaan House of Al-Amar yang diusahakannya sejak 2021.
“Saya memang sudah berhenti berlakon, drama terakhir saya adalah pada 2021 dan tawaran diterima selepas itu saya tolak sebab nekad mahu tinggalkan dunia seni.
“Kalau difikirkan, walaupun saya tak aktif dalam dunia seni arus perdana, saya masih boleh terus berkarya menerusi video yang dimuat naik di sosial media.
“Sebab itu buat masa sekarang saya tidak pernah rasa rindu terhadap dunia lakonan. Penglibatan dalam industri seni sebelum ini membantu saya untuk salurkan kreativiti.
“Sekarang saya lebih tenang dan gembira. Kehidupan lebih sederhana tanpa perlu fikir soal penampilan malah nak makan di mana-mana pun tiada masalah,” katanya,
Amar berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran Al-Aqsa Carpet Factory milik pelakon, Dazrin Kamaruddin di sini, kelmarin.
Selain itu, ditanya sama ada perubahannya yang kini lebih Islamik, kata Amar, secara tidak langsung perkara itu turut menyuntik perasaannya untuk tidak lagi meneruskan kerjaya lakonan.
“Penghijrahan saya juga antara faktor membuat keputusan ini. Saya rasa tidak selesa untuk berlakon, jadi lebih baik tidak lagi menerima sebarang tawaran.
“Kalau ada program TV pun mungkin saya hanya terlibat sebagai penaja sahaja. Tak mahu lagi kerja depan kamera.
“Malah, menerusi drama terakhir saya ada babak seolah-olah saya pegang bahu Mimi Lana dan walaupun tidak bersentuhan tapi saya betul-betul rasa bersalah.
“Memang sebelum ini saya ada berlakon bersentuhan dan berpelukan dengan pelakon wanita tetapi sekarang saya mahu berubah,”katanya.