PETALING JAYA : Pelakon muda, Trisha Ooi, mengidamkan seorang lelaki yang mengutamakan keluarga sekiranya bertemu jodoh suatu hari nanti.
Trisha atau Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 24, bagaimanapun tidak mencari, sebaliknya mahu memberi fokus kepada karier lakonan yang semakin mendapat perhatian.
“Setakat ini tiada yang istimewa. Kali terakhir bercinta zaman sekolah, itu pun cinta monyet.
“Saya tidaklah menutup hati, cuma belum masa untuk bercinta. Setakat ini mahu fokus kepada lakonan.
“Keluarga saya sangat memahami, ibu tidak pula mendesak atau bertanya lebih. Kahwin lewat atau tidak, semuanya bergantung kepada jodoh,” katanya
Trisha berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Janna Enduro, di Kota Damansara, semalam.
Pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu turut mengelak mempunyai hubungan rapat dengan mana-mana lelaki yang sudah berkeluarga.
“Ciri-ciri lelaki idaman saya seorang ‘family man’, tapi bukan suami orang. Saya tidak mahu jadi penyondol. Tapi untuk orang lain, saya tidak mahu komen.
“Saya akan menjaga diri sendiri daripada terjebak bermain cinta dengan suami orang. Kalau ada yang mendekati, saya lari.
“Sebagai perempuan, kita ada firasat jika seorang lelaki itu sudah berpunya,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, Trisha tampil memegang watak utama dalam filem aksi Janna Enduro mengisahkan seorang perempuan yang bangkit selepas anaknya diculik.
“Saya sangat puas terlibat dalam naskhah ini kerana dapat menonjolkan sisi lain lakonan iaitu aksi. Memang itulah impian dan harapan saya sejak memasuki industri ini dahulu.
“Belajar seni silat dan taekwondo sejak kecil memberi kelebihan kepada saya untuk membawakan watak Janna,” katanya.
Janna Enduro akan ditayangkan di pawagam bermula 22 Februari ini. Turut sama menjayakan filem ini ialah Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su, Syed Aiman dan ramai lagi.