KUALA LUMPUR : Penyanyi dan selebriti media sosial, Mizz Nina, mengakui, mengenang semula majlis perkahwinannya dengan suami, Essam Muhammad, yang berlangsung pada September lalu, menimbulkan rasa syukur dan bahagia dalam dirinya.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman berkata, penyatuannya dengan suami itu bagaikan saling melengkapi apalagi masing-masing saling bertujuan kerana Allah SWT.
“Apabila melihat keluarga dan teman-teman datang bersama dan berkumpul kerana Allah, tiada apa kecuali keindahan dan kebaikan.
“Ia juga sudah tertulis bahawa penyatuan kami ini adalah untuk tujuan yang indah, untuk saling melengkapi agama, beribadah kerana Allah, untuk saling mencintai, berkasih sayang.
“Bahkan untuk sama-sama berpimpin tangan sehingga kita melangkah ke pintu syurga, untuk bertemu dengan Allah dan Nabi Muhammad.
“Saya juga mendoakan agar kita dapat meninggalkan satu legasi yang meneruskan usaha menyebarkan dakwah Islam, mengangkat dan memberi makna kepada ummah dan kemanusiaan dalam apa jua usaha yang mampu dilakukan,”katanya.
Menerusi hantaran yang sama, Mizz Nina juga mengingatkan kepada pengikut dan peminat supaya sentiasa menghargai setiap momen bersama orang-orang tersayang.
“Adalah sangat penting untuk kita saling mengingatkan diri untuk sentiasa bersyukur atas setiap kurniaan waktu yang diberikan. Kalau boleh, luangkan lebih banyak masa dengan orang-orang tersayang sebab kita mungkin tidak tahu bila kali terakhir dapat bertemu atau berbual lagi,”katanya.
Pada masa yang sama, Mizz Nina turut berterima kasih kepada semua tetamu yang hadir ke majlis resepsinya sebelum ini termasuk yang sanggup datang dari luar negara.
Antara keluarga dan teman yang hadir termasuk dari Seattle, Kanada, Cambodia, United Kingdom dan Eropah.
Mizz Nina sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, pada Julai 2011.
Bagaimanapun kedua-duanya memilih jalan perpisahan pada Ogos 2022.
Mizz Nina kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan penyanyi rap asal Amerika Syarikat (AS), Essam pada Jun tahun lalu.