PETALING JAYA: Pelakon remaja, Putri Qaseh, mengakui tidak pernah menerima sebarang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pihak produksi sepanjang bergelar pelakon.
Puteri Qaseh atau Putri Syahadah Nurqaseh Izwandy, 15, berkata, caruman ini penting bagi pelakon sepertinya apatah lagi pekerjaan ini tidak selamanya menjamin pendapatan.
“Bagi saya, caruman KWSP hasil daripada setiap penggambaran oleh pihak produksi penting sebagai simpanan hari tua.
“Lagi pula ia sebagai persediaan kerana langit tidak selalu cerah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Bersetuju dengan pandangan itu ialah pelakon Putri Jannah, 20, yang tidak pernah ditawarkan caruman KWSP oleh pihak produksi.
“Sepanjang bergelar pelakon, saya memang berharap agar nasib penggiat seni dinaik taraf sebab ramai berpendapat golongan artis tiada simpanan.
“Jadi caruman KWSP adalah jalan yang terbaik untuk hari muka.
“Saya ada bertanya tentang ini kepada persatuan SENIMAN, namun mereka cadangkan untuk carum sendiri kerana prosedur produksi yang sukar,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan penggajian pelakon kanak-kanak di Malaysia menunjukkan sebanyak 97.78 peratus syarikat penerbitan filem, drama dan seni tidak mencarum KWSP bagi pelakon kanak-kanak dan orang muda.
Hasil dapatan kajian itu juga menunjukkan sebanyak 73.1 peratus syarikat produksi tidak mengetahui mengenai keperluan mendapatkan lesen hiburan awam sebelum menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda.
Kebanyakan syarikat produksi melihat caruman ini tidak penting kerana pelakon kanak-kanak dan orang muda bukan sebagai pencari nafkah keluarga.