Nikki Palikat dalam fasa bahagia? - Utusan Malaysia

Nikki Palikat dalam fasa bahagia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCERAIAN dengan bekas suami yang juga komposer Audi Mok hampir dua tahun lalu tidak menutup hati penyanyi, Nikki Palikat kepada lelaki lain. Malah kekosongan dalam hatinya kini terisi dengan kehadiran seseorang istimewa yang dikenalnya sejak dua tahun lalu.

Nikki atau nama sebenarnya, Nicolette Palikat sebelum ini kekal merahsiakan perkara tersebut sehinggalah penulis bertanyakan soal perhubungan kepadanya.

Nikki mengakui lelaki yang bukan orang industri itu istimewa untuknya. Namun bekas peserta Gegar Vaganza berkenaan buat masa ini memilih untuk merahsiakan identiti jejaka yang berjaya mencuri hatinya itu.

“Saya sekarang dalam fasa bahagia. Kami kenal sejak dua tahun lalu dan dia berusia beberapa tahun lebih tua dari saya.

“Siapa dia? Biarlah saya rahsiakan buat masa ini. Yang penting dia bukan orang industri seni dan kami bahagia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujar Nikki, jejaka misteri itu buat pertama kalinya hadir menonton persembahannya di konsert meraikan hari kekasih di Dewan Filharmonik Orkestra Sabtu lalu.

“Selama dua tahun kami kenal, dia tak pernah tengok persembahan saya secara langsung. Ini kerana saya yang tak selesa apabila orang yang kita kenal rapat datang menonton persembahan saya.

“Tapi Sabtu lalu dia mahu menonton saya menyanyi diiringi Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Jadi persembahan malam itu adalah antara yang istimewa untuk saya,” kata Nikki lagi.

Nikki ditanya tentang perkahwinan, adakah dia masih percaya akan konsep hidup berumah tangga? Ini jawab penyanyi ini.

“Saya tak pernah katakan tidak untuk berkahwin lagi. Impian saya nak sekali lagi bergelar isteri dan berumah tangga dan memiliki zuriat.

“Tapi kami tidak tergesa-gesa, mahu ambil sedikit masa sebelum mendirikan rumah tangga,” kongsinya.

RAIKAN CINTA BERSMA ORKESTRA FILHARMONIK MALAYSIA

Bagai sukar untuk percaya, persembahan Nikki pada konsert raikan cinta bersama Orkestra Filharmonik Malaysia Sabtu lepas adalah kerjasama sulung penyanyi itu dengan kumpulan orkestra berkenaan.

Lebih membanggakan apabila Nikki, semasa konsert itu, berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi unggul seperti Sean Ghazi, Ida Mariana dan Izen Kong.

Selain berduet, Nikki juga menyampaikan lagu romantis Being Alive dan sebuah lagu patah hati berjudul The Last Five Years: Still Hurting.

Nikki mengakui hampir menitiskan air mata ketika menyampaikan lagu ciptaan Jason Robert Brown itu. Katanya, dia terbawa-bawa emosi ketika menyampaikan lagu tersebut.

“Saya sudah lama tak merasa patah hati. Tapi saya tiada pilihan, perlu emosi itu untuk bawakan lagu tersebut. Jadi saya kumpulkan pengalaman cerai, selain perpisahan dengan kekasih lama.

“Jadi apa yang penonton saksikan malam itu adalah yang lahir dari hati saya, bukan dibuat-buat.

“Meskipun sekarang saya bahagia, tapi sebagai penyanyi saya perlu sampaikan emosi yang betul ketika nyanyikan lagu sedih,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Nikki memaklumkan dia bertuah dan gembira kerana diberi peluang membuat persembahan di pentas berprestij diiringi pemuzik orkestra berkredibiliti seperti MPO.

“Impian setiap penyanyi untuk menyanyi diiringi muzik orkestra dengan pemuzik seramai itu.

“Ia adalah perasaan dan pengalaman berbeza berbanding menyanyi dengan live band atau minus one.

“Tetapi menyanyi dengan orkestra besar cabarannya, membuatkan saya gemuruh di atas pentas,” ujar Nikki yang akan muncul dengan lagu baru bertajuk Dugaan Takdir Cinta Ramadan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya