SEOUL: Bekas anggota kumpulan NCT, Lucas, mendedahkan mengalami kehidupan kacau-bilau selepas dibuang daripada kumpulan itu lantaran skandal membabitkan teman wanita, setahun lalu.
Dalam sebuah dokumentari di Youtube bertajuk Freeze yang tular di media sosial sejak semalam, Lucas menceritakan tidak keluar rumah selama enam bulan sejak kontroversi itu terjadi.
“Saya tidak keluar bilik selama enam bulan berturut-turut. Ada banyak perkara yang bermain dalam fikiran saya. Rambut saya asyik gugur.Saya tidak makan dengan baik kerana hilang selera.
“Saya berasa sangat bersalah selepas kejadian itu sehingga mahu mati. Kalau saya tidak buat perkara itu, semua ini tidak akan terjadi,” luahnya dalam video berkenaan.
Penyanyi asal Hong Kong itu juga tidak dapat menahan perasaan rindu kepada ahli kumpulan NCT memandangkan mereka membesar bersama-sama sehingga debut.
“Mereka sangat kecewa dengan saya. Saya rasa bersalah. Kami mempunyai banyak kenangan bersama dan memori itu kerap bermain dalam fikiran saya.
“Dulu kami selalu keluar bersama dan luangkan masa ketika muda. Menjadi dewasa sangat sukar,” katanya.
Selepas setahun menyepi, Lucas dilihat kembali aktif di media sosial. Lucas dikatakan bakal hadir dengan sebuah lagu solo selepas kelibatnya dilihat melakukan penggambaran di eropah beberapa bulan lalu.
Terdahulu, Lucas terpalit dengan skandal pada Ogos 2021 apabila seorang wanita yang mengaku sebagai teman wanita mendedahkan Lucas mendekatinya hanya untuk mendapatkan barangan mewah.
Menurut wanita berkenaan, Lucas tiba-tiba memutuskan hubungan mereka dengan alasan sibuk kerja.
Lucas juga dikatakan menolak sebarang hadiah pemberiannya memandangkan dia mempunyai banyak wang, kecuali jika hadiah tersebut rumah atau kereta.
Memandangkan hantaran itu tular di media sosial, ada tiga individu lain turut menyatakan senario yang sama beserta gambar dan bukti, menguatkan lagi dakwaan itu.
Pada Mei tahun lalu, agensi bakat, SM Entertainment mengumumkan Lucas bukan lagi ahli kumpulan NCT dan mengatakan artis itu bakal bergerak secara solo selepas ini.