Kembara Showcase Amal Madani sasar misi bantuan kemanusiaan - Utusan Malaysia

Kembara Showcase Amal Madani sasar misi bantuan kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mensasarkan hasrat membantu insan kurang bernasib baik, bekas penyampai radio, Datuk Syaiful Bahrim atau DJ Pool telah menggerakkan program muzikal, Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia bagi tujuan mengutip dana yang diperlukan.

Menurut DJ Pool, program itu telah digerakkan sejak 18 tahun lalu dengan dikenali sebagai Dari Kuala Lumpur Ke Gaza.

Katanya lagi, pihaknya juga yakin Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia mampu bergerak dengan skala lebih besar dengan kerjasama terbaharu bersama Pertubuhan Persahabatan Penggiat Seni Selangor (PERSIS).

Program ini juga menerima sokongan daripada Jabatan Perdana Menteri yang bersetuju diperluaskan lagi ke seluruh Malaysia, termasuk menerima kesudian Wakil Rakyat Meru, Mariam Abdul Rashid bertindak sebagai penaung.

DJ Pool berkata, misi mereka memperluaskan program berkenaan ke seluruh Malaysia bermula di selatan Semenanjung sebelum bergerak ke negeri lain, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Pada awalnya, saya hanya buat secara kecil-kecilan, tetapi selepas dapat respon baik daripada orang ramai maka usaha ini tetap diteruskan.

“Kami cuba beri bantuan berbentuk mingguan atau harian kepada insan memerlukan. Itu antara yang kami lakukan untuk meringankan beban hidup dilalui mereka.

“Bukan menidakkan Lembaga Zakat, tetapi kami cuba membantu hulurkan bantuan dalam kadar segera.

“Ini langkah pertama, kami akan fokus kepada negeri di selatan Semenanjung terlebih dahulu sebelum bergerak ke negeri lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, baru-baru ini.

DJ Pool berkata, dengan pembabitan ramai penyanyi tanah air yang akan membuat persembahan, diharapkan mampu menarik lebih ramai penaja dan penyumbang untuk program berkenaan.

“Persembahan mencakupi persembahan akustika berkumpulan atau solo dengan irama santai, termasuk lagu malar segar dan terkini.

“Setakat ini, kami menerima maklum balas baik daripada prospek yang berminat menaja kami dari pelbagai aspek.

“Kami juga akan terus membuka pintu kepada penaja lain untuk bersama kami dalam program amal ini,” katanya.

Sementara itu, Mariam selaku Wakil Rakyat Meru menyokong penuh usaha digerakkan DJ Pool, selain memberi pelbagai bentuk sumbangan untuk melancarkan segala gerak kerja.

“Di pejabat wakil rakyat sentiasa dikunjungi masyarakat yang memerlukan bantuan. Jadi, dengan ada pihak yang menggerakkan program ini, secara tidak langsung membantu menampungnya.

“Kami memang mengalu-alukan usaha seperti ini, lebih lagi, mereka juga mengutip derma dengan cara menghiburkan. Bagi saya, ia salah satu cara unik untuk menarik lebih ramai pihak untuk terbabit dalam usaha menyantuni golongan memerlukan.

“Saya menyokong dari segi moral. Pada awal pertemuan dengan mereka memang sangat teruja. Momentum menjalankan program ini tidak pernah berkurangan.

“Antara lain sokongan saya kepada mereka ada juga dalam bentuk dana, termasuk membuka ruang bertemu dengan ahli Parlimen lain untuk memperluaskan usaha ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya