LOS ANGELES : Penyanyi terkemuka antarabangsa, Taylor Swift, diramal sengaja menghasilkan album terbaharunya dengan judul The Tortured Poets Department sebagai satu dedikasi sindiran terhadap bekas kekasihnya, Joe Alwyn.
Perkara itu dirungkai oleh peminat-peminat fanatiknya yang dapat ‘menghidu’ permainan Taylor yang sejak sekian lama cukup dikenali sebagai penyanyi yang gemar menghasilkan lagu-lagu berdasarkan kisah cintanya bersama barisan bekas kekasihnya sebelum ini.
Menerusi pengumuman yang dibuat oleh Taylor ketika memenangi Anugerah Grammy bagi kategori Album Pop Vokal Terbaik semalam, penyanyi itu menyebut bahawa album The Tortured Poets Department telah dihasilkan secara rahsia sejak dua tahun lalu.
“Saya mahu mengumumkan satu rahsia kepada semua peminat bahawa saya telah menyiapkan sebuah album terbaharu sejak dua tahun lepas.
“Ia akan dilancarkan pada 19 April ini dan diberi nama The Tortured Poets Department,”katanya.
Bagi peminat Taylor, perkara itu sudah cukup memberi tanda isyarat bahawa album tersebut mempunyai kaitan dengan hubungan percintaannya dengan Joe yang telah berlalu dua tahun lalu.
Malah, dalam satu temu bual Joe bersama aktor Paul Mescal sebelum ini, pelakon tersebut pernah mendedahkan kepada umum bahawa kedua-dua mereka termasuk aktor Andrew Scott merupakan ‘ahli’ kumpulan Whatsapp yang diberi nama The Tortured Men Club.
Ia sekali gus memberi petanda besar bahawa Taylor sengaja mengambil nama kumpulan Whatsapp bekas kekasihnya itu sebagai inspirasi untuk album terbaharunya itu.
Terdahulu, Taylor mencipta sejarah baharu apabila Midnights dinobatkan sebagai Album Terbaik di Anugerah Grammy Ke-66, semalam.
Swift, 34, mengetepikan pesaing hebat lain seperti Jon Batiste yang mempertaruhkan album World Music Radio, Boygenius (The Record) dan Janelle Monae (The Age of Pleasure).
Antara pencabar terdekat lain ialah Lana Del Ray (Did You Know That There’s a Tunnel Under Ocean Blvd), Miley Cyrus (Endless Summer Vacation), Olivia Rodrigo (Guts) serta (SOS).