EDM sebenar tak ada unsur dadah, alkohol - Aril Pilus - Utusan Malaysia

EDM sebenar tak ada unsur dadah, alkohol – Aril Pilus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH muncul dan dikenali sebagai penggerak muzik tarian elektronik (EDM) tanah air, penyanyi, Aril Pilus, mengakui sukar untuk mengubah pemikiran masyarakat mengenai seni muzik dan tarian tersebut.

Ini kerana, kata Aril, kebiasaannya, EDM yang juga sinonim dengan gerak tarian shuffle sering dipandang serong dan dianggap negatif kerana ada segelintir penggemarnya melibatkan penggunaan bahan terlarang seperti dadah dan alkohol.

Kata Aril, perkara itu sudah tentu memberi gambaran tidak baik kepada penggemar muzik dan tarian itu sendiri sehinggakan walau sudah bertahun-tahun lamanya, masih ramai melabel kelompok pemuzik dan penggemar EDM seperti itu.

Pun begitu, menerusi semangat dan harapan yang tidak pernah luntur, Aril percaya trend EDM kini sudah kembali mewarnai industri dan itu memberi peluang kepadanya untuk memberi kefahaman kepada umum mengenainya.

“Saya tahu, kalau cakap pasal EDM saja mesti orang akan kaitkan dengan dadah, alkohol atau apa sahaja yang negatif. Sebenarnya tak ada pun unsur-unsur merapu yang diperkatakan itu sebab sepanjang saya terlibat dan bawakan gerak muzik EDM itu tak pernah pun melibatkan perkara negatif macam itu.

“Ramai yang salah faham sebab mungkin ada segelintir daripada penggemar muzik ini yang buat perangai tak elok, kemudian habis semua terkena.

“Saya boleh jamin, tak ada unsur begitu. Dulu pun waktu saya kendalikan dan menggerakkan muzik ini, siap jalin kerjasama dengan komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),”katanya.

Aril berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada satu acara hiburan baru-baru ini di ibu negara.

Selain itu, kata Aril, dia juga kagum dengan kebangkitan semula trend tarian shuffle yang turut memberi ilham buatnya untuk tampil dengan sebuah lagu baharu berjudul Tak Sempurna.

Kata penyanyi berusia 38 tahun ini, dia mahu ia kembali menjadi satu aktiviti bermanfaat kepada anak muda.

“Baru-baru ini tular di media sosial dimana trend tarian shuffle kembali diminati, saya juga dahulunya seorang shuffler dan ada pengikut ramai di dalam serta luar negara.

“Jadi saya ambil kesempatan ini untuk menghasilkan sebuah karya berentak EDM. Pada masa yang sama saya juga berhasrat menghasilkan festival EDM suatu hari nanti.

“Berkenaan lagu, Tak Sempurna membawa maksud kebangkitan semula, sentiasa berjalan mara ke hadapan, apabila kita jatuh, bangkitlah semula dan jangan menyerah kalah kerana kita semua tidak sempurna.

“Walaupun rancak, liriknya lebih memberi motivasi dalam membangkitkan semangat,” katanya.

Dalam masa sama menurutnya, lagu tersebut akan menjadi buah tangan terbaharunya setelah lama tidak membuat kemunculan semula dalam indusrti muzik dari segi penghasilan lagu.

Kata Aril, menjalani sesi rakaman sekitar Julai tahun lalu, Aril turut berkerjasama dengan komposer yang betul faham akan kehendaknya dalam mengetengahkan muzik EDM.

“Saya anggap lagu ini ibarat kemunculan semula dalam industri muzik. Bukan bagi saya sahaja, malah untuk komuniti tarian shuffle serta penggemar muzik EDM.

“Tidak ramai yang memahami konsep muzik EDM ini dan yang menjiwainya sahaja akan faham.

“Saya juga menjemput penyanyi rap tanah air, Nigel Sparks untuk menambah rasa ke dalam karya ini dan hasilnya amat memuaskan hati,” katanya.

Untuk info, lagu Tak Sempurna merupakan ciptaan bersama komposer Justin Seow dan liriknya ditulis oleh Asyraf Nasir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya