KUALA LUMPUR: Pelakon, Riz Amin, mendedahkan dia pernah ditawarkan peluang berlakon dalam filem antarabangsa namun terpaksa menolak kerana watak yang diberikan memerlukan dirinya bercumbu dengan pelakon gandingannya.
Riz atau nama sebenarnya Norizam Amin Nordin, 38, berkata dia berpegang pada prinsip untuk tidak menjayakan sebarang adegan ‘soft porn’ memandangkan dia juga sudah berkahwin dan mempunyai anak.
“Saya pernah dapat tawaran filem dari luar negara. Tak banyak babak pun, ada beberapa babak sahaja tapi ia cerita dari luar. Kemudian ada babak bercium mulut dengan pelakon luar di kelab malam.
“Saya balik, saya tanya isteri saya. Saya cakap ini peluang yang bagus dari luar, bayarannya pun berbaloi.
“Isteri saya cakap, kalau awak waras, awak sanggup ke buat benda ini? Awak nak kecaman untuk popular dengan cara buruk atau baik?
“Apa orang akan fikir pasal dia sebagai isteri untuk izinkan suami berlakon babak sebegitu? Jadi, saya tolak. Memang sayang sebab ia peluang baik tapi bila fikir balik Allah nak duga kita sama ada kita terima atau tidak. Jadi maaf, saya memang tolak,” katanya.
Tambah Riz, dia ada berbincang dengan pengarah serta syarikat produksi itu untuk menggunakan teknik kamera, namun cadangannya itu ditolak.
“Saya cakap boleh tak buat helah kamera sebab bila orang kecam saya pun saya boleh cakap ia helah kamera. Tapi mereka tidak setuju sebab ia babak yang penting, tapi kalau saya buat pun, kalau orang tak nampak, Allah tetap nampak,” katanya.
Berikutan itu pelakon drama Bukan Puteri Lindungan Bulan ini berharap agar produksi dapat menghormati prinsip yang diletakkan sebagai batasan selaku pelakon.
“Saya harap mereka dapat menghormati keputusan saya, kalau saya cakap saya taknak buat, saya taknak buat. Saya ada alasan tertentu. Saya berkeluarga, ada anak dan sebagainya, macam mana anak saya pergi sekolah dan kawan-kawan bercakap nanti.
“Jadi saya taknak benda sebegitu. Kalau boleh elak, kita elak. Tapi kita boleh elak sebenarnya, janganlah menggunakan babak sedemikian untuk tarik penonton.
“Saya risau juga bila tengok babak sebegini makin banyak dalam nakshah kita, risau dengan generasi muda di luar sana atau warga tua sekali pun yang menonton,” katanya.
Bekas peserta Hero Remaja 2003/2004 ini juga berkata, bergantung kepada kreativiti pengarah dan penulis untuk menyampaikan mesej menggunakan cara selain babak-babak lucah.
“Kalau ikut budaya Melayu dan Islam, sudah tentu kita berlakon untuk menyampaikan mesej yang baik tapi adakah setiap adegan yang anda lakukan itu menyampaikan mesej yang baik?
“Pada saya kalau nak berikan mesej yang tidak okay atau kotor, anda boleh kosongkan skrin dan sebagainya, janganlah sampai kita melampaui batas sebab saya fikir penonton pastinya juga terdiri dari kanak-kanak, kita mahu didik mereka dengan adegan yang mempunyai mesej.
“Jadi terpulang pada kreativiti pengarah untuk menyampaikan sesuatu babak yang tidak okay itu dengan cara yang berbeza. Gunakan helah kamera ke. Perlukah kita ikut budaya luar? Sedangkan bila saya tengok cerita Hollywood, mereka tidak tunjuk sepenuhnya berbanding naskhah Mexico dan sebagainya.
“Jadi bagi saya pengarah dan penulis kena ada kreativiti dalam menyampaikan supaya sampai mesej yang mahu diketengahkan,” katanya.
Riz turut menyatakan perlu ada agensi atau pihak berwajib yang memainkan peranan dalam menegur mana-mana produksi yang menggunakan ‘soft porn’ dalam menarik penonton.
“LPF dan sebagainya takkanlah lepaskan begitu saja, jadi pihak-pihak seperti ini kena memainkan peranan,” katanya.