KUALA LUMPUR : “Ya, saya nak berkahwin, jemput datang ke majlis persandingan di Zepp, Kuala Lumpur,”
Demikian respons penyanyi, Siti Nordiana, ketika mengumumkan hasratnya mengadakan konsert solo pertama, Memori Berkasih pada 11 Mei ini.
Pengumuman berunsur gimik itu sekali gus menutup spekulasi kononnya Nana bakal melangsungkan perkahwinan setelah gambarnya memakai gaun putih tersebar beberapa hari lalu.
“Saya dengan rendah hari memohon maaf jika ada pihak yang salah faham gara-gara gambar itu. Sebenarnya gambar itu merupakan cuplikan untuk sesi fotografi konsert nanti.
“Ada yang mesej saya kecewa kerana menyangka saya akan berkahwin. Dia merajuk sampai ingin berpindah ke planet Marikh,” katanya berseloroh.
Siti Nordiana ditemui Utusan Malaysia di sidang media konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun, di Zebra Square, di sini, hari ini.
Sementara itu, penyanyi Arah Cinta itu mengakui teruja kerana konsert itu kelak bakal menjadi saksi sepak terajangnya sebagai penyanyi selama 25 tahun.
“Ini merupakan konsert perdana saya sepanjang lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia seni.
“Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun terlalu istimewa. Ia akan menjadi ‘pelamin khas’ untuk meraikan karier bersama peminat,”katanya.
Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 dibawakan oleh Icon Entertainment. Konsert akan berlangsung pada 11 Mei, pukul 8:30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket akan dijual pada 2 Februari ini bermula pada harga RM 188 hingga RM 4,888.