PETALING JAYA: Pelakon, Sophia Albarakbah, 31, mengakui gementar ketika diminta melakonkan babak rogol dalam filem Jiwa 8 Belas.
Tambahan pula, kata Sophia, filem yang menjalani penggambaran pada tahun 2018 itu merupakan naskhah pertama di awal pembabitannya bergelar pelakon.
“Sebenarnya, saya takut dan gementar untuk melakonkan babak rogol. Semasa penggambaran filem itu beberapa tahun lalu, saya masih baru dan tidak tahu bagaimana untuk menjayakan babak tersebut.
“Mujur kru, pengarah serta rakan pelakon di set banyak membantu dan membuat saya berasa selesa. Saya sudah cuba yang terbaik melakonkannya,” katanya.
Sophia berkata demikian sewaktu ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas di TGV 1 Utama di sini, semalam.
Selain itu, ditanya sama ada aktres Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-15 ini bersedia melakonkan babak sedemikian pada waktu ini jika ditawarkan, Sophia bagaimanapun mengakui tidak keberatan.
“Jika terima tawaran seperti itu lagi, saya akan tengok dahulu jalan ceritanya. Kalau naskhah itu baik dan boleh menaikkan nama saya sebagai pelakon, saya akan cuba.
“Filem Jiwa 8 Belas adalah lakonan pertama saya. Sejujurnya saya sangat gembira melihat peningkatan kemahiran lakonan sehingga hari ini.
“Cuma saya tidak mahu terlalu selesa dan akan terus memperbaiki diri,” tambahnya.
Walaupun banyak kontroversi membabitkan nama Sophia Albarakbah tahun lalu, pelakon berdarah campuran Arab, Melayu dan Cina itu bagaimanapun ingin membuka lembaran baru dan memberi fokus kepada kerjaya tahun ini.
“Tahun ini, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan apa-apa kontroversi dan hal negatif.
“Saya mahu buka buku baru dengan perkara positif. Alhamdulillah banyak lagi filem dan drama lakonan saya akan menemui penonton tahun ini,” jelasnya.
Sophia membawakan watak Atien di dalam filem Jiwa 8 Belas yang bakal menemui penonton 18 Januari ini.
Turut memeriahkan naskhah itu ialah A. Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Shah Hazvee, Sophia Albarakbah, Izuan Ramli, Ikhram Juhari, Kanda Khairul, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S