KUALA LUMPUR : Kumpulan terkenal era 90-an, UK’s dan Slam bakal berkongsi pentas bagi memberi penghormatan kepada komposer lagu malar segar, Saari Amri dalam Konsert UK’s Slam Musical pada bulan hadapan.
Menurut vokalis UK’s, Amir, Saari Amri layak diraikan kerana komposer itu banyak berjasa dalam menghasilkan lagu hit sehingga dua band itu dikenali selama tiga dekad.
“Hampir 90 peratus lagu yang bakal kami nyanyikan adalah hasil ciptaannya. Nama Slam dan UK’s popular kerana jasa beliau. Alhamdulillah selama ini, lagu-lagu Saari banyak memberi rezeki buat kami.
“Kami sudah undang Saari untuk menghadiri konsert dan nampaknya dia juga sudah maklum dengan gabungan dua band ini,” katanya.
Amir ditemui Utusan Malaysia di sidang pra tonton konsert di sebuah hotel, semalam.
Ditanya apakah reaksi Saari ketika dimaklumkan mengenai gabungan itu, komposer Gerimis Mengundang itu gembira dan teruja menyaksikan persembahan mereka nanti.
“Dia gembira. Saya nampak dia bernyanyi di Tik Tok lagu-lagu Slam dan UK’s.
“Cuma kelakarnya, dia bernyanyi dan ubah lirik lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dalam video itu. Tak mengapalah, sebab dia yang cipta lagu itu,” ujarnya.
Sementara itu, kata Amir, dalam konsert yang bakal diadakan di Stadium Malawati Shah Alam pada 3 Februari itu, sebuah segmen khas akan diadakan menggabungkan persembahan dua band Slam dan UK’s.
“Saya harap peminat tidak membandingkan persembahan band mana yang lebih bagus.
“Ini sebuah konsert untuk kita meraikan zaman 90-an, mengimbau kenangan dengan bernyanyi bersama-sama selama tiga jam itu,” katanya.
Sebanyak 30 lagu bakal didendangkan pada konsert berdurasi hampir tiga jam. Antaranya, Di Luar kemampuanku, Pahit Akan Jadi Manis Akhirnya, Bila Diri Disayangi, Tergamak Kau, Rhythm Si Jantung Hati, Buat Seorang Kekasih, Kembali Terjalin, Gerimis Mengundang, Rindiani, Maria Mariana dan banyak lagi.
Tiket konsert UK’s Slam Musical itu boleh dibeli dengan harga bermula RM108 di laman sesawang ilassotickets.com.