KUALA LUMPUR : Pelawak dan selebriti media sosial, Atu, 31, mengakui sentiasa berdoa agar dirinya dijauhkan daripada sikap berasa lebih baik supaya dihindarkan daripada perasaan berbangga diri.
Luahan itu dibuat Atu menerusi satu hantaran di Instagram semalam.
Kata Atu atau nama sebenarnya, Sharif Kunal Doli Sharif, sebolehnya dia mahu menghindari sikap mudah menghukum orang lain demi menjadi insan dan muslimin lebih baik.
“Kerja kita bukan menghukum tapi akan di hukum kalau bukan di dunia, pasti Insya-Allah di akhirat.
“Alhamdulilah saya pernah direzekikan keluar ( mengikuti jemaah tabligh) selama tiga hari saja, tapi jauh di lubuk hati ,saya sentiasa berdoa meminta janganlah ada sedikit perasaan ‘aku lebih baik daripada dia’.
“Contoh, aku jaga solat, aku jaga puasa,aku jaga ibadah,tapi bila berhadapan dengan orang yang sebaliknya, terus rasa aku lebih baik daripada dia.
“Bukankah syaitan di keluarkan dari syurga Allah SWT hanya kerana merasa diri aku lebih baik daripada Nabi Adam?,”katanya.
Kongsi Atu lagi, dia juga mengakui bukanlah seorang insan yang baik namun sentiasa berdoa supaya diberikan hidayah dan kekuatan daripada Allah untuk menjadi manusia yang baik.
“Saya bukan orang yang baik, tapi saya sentiasa berdoa kepada Allah dan meminta doa daripada anda semua supaya doakan saya agar menjadi hamba Allah yang baik sebelum nvawa terpisah dari jasad, Amin.
“Saya doakan diri dan kita semua Insya-Allah dapat masuk syurga bukan kerana amal kita tapi kita masuk syurga sebab luasnya rahmat Allah.
“Untuk mendapatkan semua tu mintalah kepada Allah kekuataan. Doakan saya. Peringatan untuk diri sendiri dan maafkan saya.
“Kalau kenyataan saya ini salah, dan semestinya ada kesalahan, yang baik semua datangnya daripada Allah SWT,”katanya.