Persembahan bertenaga, Ella 'pukau' peminat Sabah - Utusan Malaysia

Persembahan bertenaga, Ella ‘pukau’ peminat Sabah

ELLA mengabadikan gambar kenangan bersama peminat pada Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ di Sabah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Menyanyikan hampir 30 buah lagu sepanjang lebih dua jam konsert berlangsung cukup untuk membolehkan ratu rock negara, Ella, memukau peminat di Sabah.

Persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu popularnya yang sering meniti dibibir peminat itu mencipta memori tersendiri, bukan hanya kepada Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin,58, tetapi juga kepada peminatnya.

Ella turut membuat kejutan dengan mempersembahkan lagu duet bersama suaminya, Kapten Azhar Ghazali dengan lagu ‘mendung tak bererti hujan’ dan ‘Peace, Love, Rindu’.

Ella dan suaminya berkongsi dengan penonton betapa istimewanya Kota Kinabalu kepada pasangan yang mendirikan rumah sejak 12 tahun lalu itu.

“Kota Kinabalu special dan dekat di hati saya kerana di sinilah lokasinya saya dan suami mula berkenalan sewaktu mula-mula bercinta dahulu dan menjadi memori terindah kami,” katanya.

Konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ di Sabah adalah konsert keempatnya selepas Bukit Jalil, Pulau Pinang dan Singapura.

Konsert yang meraikan 35 tahun pembabitan penyanyi rock negara ini dalam industri seni tempatan yang dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama RockQueen itu berjaya menarik kira-kira 5,000 orang penonton membanjiri Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) baru-baru ini.

Konsert yang berlangsung di bawah bimbingan pengarah muzik tersohor, Datuk Acis atau nama sebenarnya Datuk Hashridz Murshim Hassim itu menyaksikan Ella membawa 30 hampir 30 buah lagu.

Antara lagu malar segar atau lagu hits yang didendangkan oleh Ella adalah Gemilang, Standing In The Eyes Of The World, Sembilu, Pengemis Cinta, Permata Biru, Bayangan, Kesal, Permata Permotong Permata, Retak dan Nuri.

Sebagai penghargaan kepada negeri Sabah yang penuh dengan budaya, suatu persembahan kejutan dibawakan oleh kumpulan budayawan dengan tarian tradisional Sabah.

Peminat-peminat yang hadir turut menari tarian tradisional sumazau semasa selingan persembahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN