PETALING JAYA : Pelakon, Atikah Suhaime, 33, mengesahkan bakal bergelar isteri kepada ahli perniagaan Datuk Lokman Teh pada 21 Januari depan.
Atiqah mengakui berdebar menunggu hari bahagia tambahan lagi pernikahannya boleh diibaratkan seperti penyatuan dua negara.
“Alhamdulillah, ya saya sudah bertunang Disember tahun lalu, cuma baru kongsi hari ini.
“Perasaan saya bercampur-baur ketika ini. Ditambah pula saya asal Singapura dan berkahwin dengan orang Malaysia.
“Memang sukar untuk diterjemahkan perasaan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Berkongsi mengenai persiapan majlis perkahwinan yang sudah dilakukan 95 peratus, pelakon Selamatkan Hari Jadi Itu bersedia untuk menjadi isteri dengan meletakkan suami sebagai keutamaan.
“Selepas ini, suami adalah prioriti. Rasa sebak sikit memandangkan saya sangat rapat dengan keluarga di Singapura.
“Insya-Allah saya akan cuba membiasakan diri,” katanya.
Tambah Atikah, majlis bersejarah itu nanti akan diadakan di Kuala Lumpur setelah mendapat kata sepakat dari kedua-dua keluarga.
“Majlis perkahwinan memang sudah dirancang di Kuala Lumpur dan menghimpunkan kedua-dua belah keluarga. Lagi pula kesihatan nenek Lokman kurang sihat.
“Insya-Allah esok saya akan adakan kenduri marhaban pengantin di kediaman di Singapura. Itu yang sibuk sedikit,” ujarnya.
Terdahulu, hubungan cinta Atikah dan Lokman sudah diketahui umum apabila mereka dilihat akrab sejak perkenalan pada tahun 2019.
November lalu, mereka juga ada memuat naik foto menghadiri khursus kahwin bersama-sama, menguatkan lagi desas desus bakal melangkah ke fasa yang lebih serius.