PETALING JAYA: Kejadian aneh menimpa penyanyi, Bunga, 23 apabila kucing peliharaannya mati satu per satu secara mengejut.
Menerusi ciapan yang dimuat naik menerusi platform X, Bunga mendedahkan peristiwa itu hanya berlaku sekiranya dia tiada di rumah atau sedang menghadiri undangan persembahan.
“Waktu itu saya duduk rumah jenis kondominium. Ketika kucing pertama mati, saya sedang menghadiri persembahan di Miri, Sarawak. Tapi saya fikir mungkin kucing saya mati sebab terjatuh.
“Namun, kejadian sama berulang untuk kucing kedua dan ketiga. Ketika itu, saya tiada di rumah kerana menghadiri undangan persembahan. Rumah saya ada jaring di balkoni dan kucing saya bukan jenis memanjat jaring itu.
“Saya masih bersangka baik dengan berfikir mungkin sudah ajal, mereka terjatuh di balkoni kerana kejar burung,” katanya.
Dedah penyanyi Intan Payung itu lagi, lebih aneh, kejadian itu berlarutan walaupun selepas dia berpindah ke rumah bertanah.
“Satu hari saya pulang lewat, tiba-tiba ada kesan darah di lantai. Saya fikir kucing saya kencing berdarah, lepas saya ikut kesan itu, rupanya kucing saya mati dengan darah keluar dari mulutnya. Sebelum ini dia sihat sahaja.
“Saya mahu tanam kucing itu keesokan pagi memandangkan hari sudah malam. Tapi saya hairan apabila keesokan pagi, tukang kebun kata pintu rumah terbuka luas sedangkan pintu saya menggunakan kunci kod laluan.
“Hari yang sama, saya lihat dua ekor kucing juga sudah lemah tidak bermaya,” katanya.
Susulan itu, Bunga terus membawa kucing peliharaan ke klinik haiwan sebelum disahkan menghidapi virus Parvo. Ujar Bunga, doktor yang merawat juga hairan kerana virus itu jarang menyerang kucing peliharaan di dalam rumah.
“Bila saya sampai Malaysia dari Thailand, doktor maklumkan keadaan kucing saya sudah semakin teruk dan bulunya sudah bertukar kuning.
“Lagi 10 minit nak sampai klinik, doktor beritahu kucing saya sudah tiada. Luluh hati, saya masih nak nangis bila kenang kembali,” tulisnya.
Bunga walau bagaimanapun, masih menganggap kemunculan virus Parvo yang menyebabkan kematian kucingnya sebagai misteri.
“Sampai sekarang saya terfikir, kalau kucing saya mati sebab Parvo, mana datang virus itu? sebab semuanya berada dalam rumah yang sama.
“Kalau nak kata virus itu memang sudah ada di dalam rumah, mengapa kucing yang lain tidak terkena virus itu sedangkan ia mudah merebak melalui sentuhan,” tambahnya.
Penyanyi itu tidak menolak kejadian berkenaan ada kaitan dengan unsur mistik apabila dia sering bermimpi aneh seperti dikejar sesuatu di dalam hutan.
Manakala tunangnya, Amzar Sabri, juga dikatakan pernah ternampak ulat yang hanya wujud di sekitar meja makan.
Di akhir ciapan, Bunga turut meminta maaf sekiranya ada menyakiti hati mana-mana pihak dan mengamalkan bacaan ayat pendinding yang dikenali sebagai Bismillah 5 untuk melindungi diri.