PETALING JAYA : Penyanyi, Syahmi Irfan, mengakui sengaja memperlahankan kerjaya nyanyian bagi memberi fokus kepada pelajaran dan kelas badminton.
Menurut Syahmi yang juga bekas skuad badminton negara, dia membuka kelas setiap hujung minggu khusus kepada mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.
“Saya sebenarnya sudah lama buka kelas ini, cuma awalnya tak ramai. Namun makin lama, semakin ramai pula yang mahu mempelajari teknik bermain badminton.
“Saya hanya melakukannya kerana minat dan hobi. Sekadar kerja sambilan. Tidak bercadang untuk kembali menjadi skuad badminton negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Penyanyi Mungkir itu mendedahkan kini sedang sibuk menghabiskan pelajaran semester akhir jurusan sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Setakat ini, memang saya akui karier nyanyian saya agak perlahan kerana memberi fokus kepada pelajaran. Lebih-lebih lagi kini saya sudah di semester akhir universiti.
“Memang ada yang mesej di Instagram katanya rindu mendengar saya, nanti saya akan kembali ya,”katanya.